Selasa, 21 Jun 2016

Guru Tidak Mengizin Mengajar




Kalau dulu seseorang pelajar agama tidak akan dibenarkan untuk mengajar masyarakat melainkan setelah gurunya mengizinkannya mengajar. Sebab itu apabila kita membaca kisah-kisah ulamak silam, kita akan ketemu ayat yang menyatakan: Fulan bin Fulan telah diizinkan untuk berfatwa pada usia begian begian.
Maknanya ada di kalangan pelajar yang menuntut ilmu daripada seorang guru dalam masa yang lama nama sampai sudah gurunya tidak mengizinkannya untuk mengajar.
Fadhilat al-Syeikh al-Waliyy Sayyidi Ali bin Jum'ah Hafizohullah pada Jumaat 13/5/2016 pernah menceritakan sistem sijil al-Alimiyyah di al-Azhar dahulu yang pemilik sijil ini hendaklah lulus ujian 12 mata pelajaran dan akan disoaljawab oleh ulamak-ulamak besar al-Azhar. Beliau menceritakan kepada kami bahawa pelajar yang menduduki ujian tersebut, keputusannya adalah seperti berikut:
1) Lulus dengan layak mengajar semua mata pelajaran dalam bidang ilmu Islam
2) Lulus dengan hanya layak mengajar ilmu tertentu sahaja
3) Gagal dan tidak layak langsung mengajar.
Sistem keizinan mengajar ini walaupun seperti agak kuno dan akan menghalang ramai para pelajar menyebarkan ilmu Islam kepada masyarakat, namun sistem ini adalah sangat menjamin keabsahan ilmu yang bakal diajar kepada masyarakat.
______
Hari ini saya melihat ramai para sahabat yang telah pulang ke tanah air menjadi tokoh-tokoh ilmu di mata masyarakat. Di kalangan mereka ada yang semasa di alam pelajar merupakan seorang yang serius menuntut ilmu daripada para ulama al-Azhar. Cumanya seakan-akan jumlah mereka teramatlah sedikit.
Namun yang sangat ramai adalah para sahabat yang banyak menghabiskan masa mereka dengan aktiviti yang bermanfaat seperti berjalan-jalan di sekitar Mesir, menguasai bidang IT, menjawab isu-isu Malaysia di muka buku dan mengelakkan diri daripada melakukan maksiat dengan cara tidur.
______
Persoalan:
1) Ketika mereka mengikat serban dan menyarung jubah lalu dinobatkan sebagai seorang ulamak, adakah kalam-kalam mereka yang akan dipegang oleh masyarakat adalah benar dari sudut ilmu?
2) Apabila mereka membaca kitab-kitab ulamak silam, adakah kefahaman mereka tepat dengan kehendak pengarang?
3) Adakah mereka menjelaskan kepada masyarakat bahawa ilmu yang mereka sampaikan bukanlah daripada apa yang mereka ambil daripada majlis-majlis ilmu di Mesir dahulu sebaliknya hanya daripada bacaan peribadi atau gorengan mereka?
4) Adakah mereka menyatakan kepada masyaraka bahawa mereka sebenarlah tidaklah menuntut ilmu secara serius semasa di Mesir lalu terserahkan kepada masyarakat sama ada mahu mendengar huraian mereka atau tidak?
DEMI ALLAH, SAYA TAKUT KEPADA NASIB MASYARAKAT.
WAHAI PELAJAR AGAMA, TAKUTILAH ALLAH ATAS AMANAH ILMU YANG DIPUNDAKKAN KE ATAS BATU JEMALAMU.

Sumber:
https://www.facebook.com/hairul.nizam.37669528/posts/1758984177646810