Ahad, 26 Julai 2015

Tuan Guru Haji Abdul Majid Bin Hj Abdul Karim








Tuan Guru Haji Abdul Majid Bin Hj Abdul Karim. Al-marhum seorang yang sangat warak sehinggakan tidak dijumpai gambar-gambarnya kecualilah yang ada pada kad pengenalannya. Al-marhum mula belajar agama dengan Tuan Haji Muhamad Haji Mustaffa, Kuala Jempol selama 3 tahun ( 1923 – 1925). Kecerdasan dan kebolehannya ketika menuntut diakui sendiri oleh Tuan Gurunya.
.
Selepas menuntut dengan Haji Muhamad Mustaffa, beliau memondok pula di Sik, Kedah selama 4 tahun ( 1925 – 1928). Dijangkakan beliau memondok ke sini atas seranan Tuan Haji Muhamad sendiri kerana berdasarkan kisahnya, Haji Muhamad pernah belajar ke Sik. Apabila ada peluang ke Mekah, Tuan Guru Haji Abdul Majid mengambil kesempatan mengikuti kuliah-kuliah di Masjidil Haram yang disampaikan oleh ulama terkemuka Mekah ketika itu. Sebagaimana yang kita sedia maklumi, awal abad ke 20an itu ramai penuntut-penuntut dan ulama tanah Jawi berkampung di sana. Beliau mengasaskan Pusat Pengajian Tinggi Darul Ulum Makkah Al Mukarramah bersama-sama rakan-rakannya. Tuan Guru Haji Abdul Majid akhirnya berjaya mendapat Syahadah Al Aliah Tinggi dari Institusi ini. Antara guru-guru beliau ialah Sheikh Hassan Masyhat, Sheikh Zaharuddin, Sheikh Muhsin dan lain-lain lagi.
Beliau tidak berminat untuk berkerja dengan mana-mana pihak kerana lebih cenderung untuk berdikari dalam mengembangkan syiar Islam secara lebih berkesan. Walau bagaimanapun, beliau diminta oleh Tuanku Abdul Rahman untuk mengajar agama di Istana setiap minggu. Pernah Allahyarham menganggotai Jawatankuasa Syariah dan Majlis Fatwa negeri setelah dipujuk oleh Sheikh Haji Ahmad Mufti kerajaan ketika itu. Dikatakan beliau hanya berkhidmat untuk beberapa tahun sahaja kerana tidak mahu terlibat dengan fatwa-fatwa yang yang dianggapnya tidak menepati pegangannya. Misalnya, beliau tidak setuju bertaqlid kepada satu-satu mazhab untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Dia lebih cenderung untuk berpegang kepada Mazhab As Syafieah sahaja untuk mengelakkan berlaku perpecahan di kalangan masyarakat negeri ini. Allahyarham sangat kuat beribadah dan doa-doa beliau selalu dimakbulkan Allah SWT.
Semoga Allah merahmatinya dan dihimpankan bersama orang-orang yang soleh.















Tiada ulasan:

Catat Ulasan