Khamis, 23 Julai 2015
Syaikh 'Abdul Lathif Tambi Al-Malakawi (Ulama' Melaka)
(Tokoh Ulama Melaka)
Syeikh Abdul Lathif Tambi Al-Malakawi
Salah seorang ulama besar Melaka yang pernah menjadi kader Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tokoh ulama Melayu di Makkah ialah Syeikh Abdul Lathif Tambi. Syeikh Abdul Latif bukan sahaja mengikuti jejak langkah gurunya itu dalam bidang penulisan tetapi juga turut aktif dalam bidang percetakan dan penerbitan kitab-kitab. Tokoh ulama yang berasa dari Melaka ini dilahirkan di Kampung Teluk Mas, Melaka pada tahun 1872 Masehi bersamaan dengan 1288 Hijriyyah. Nama lengkapnya ialah Haji Abdul Lathif bin Haji Muhammad Nuruddin (Haji Tambi) bin Muhammad Shalih al-Malakawi at-Tankirawi. Gelarannya ialah Bahauddin.
Gelaran ini diberikan oleh seorang ulama besar Melaka yang hidup sezaman dengan beliau iaitu Syeikh Ahmad bin Abdur Rauf. Asal-usul nenek moyangnya dikatakan berasal dari India. Walaupun dilahirkan di Melaka, usia kecilnya banyak dihabiskan di Singapura. Keluarganya sangat memberi perhatian kepada pendidikan agama.
Lantaran itu, ketika beliau berusia 8 tahun, beliau sudah dihantar oleh ayahandanya ke Makkah untuk menimba ilmu di sana. Beliau menadah kitab kepada ulama-ulama besar di Makkah selama 20 tahun. Di antara ulama-ulama dunia Melayu yang menjadi guru-gurunya di Makkah ialah seperti Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Shabir Mandailing dan Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau.
Diriwayatkan bahawa beliau turut terlibat membantu gerakan Jam’iyatul Fathaniyah yang dicetuskan oleh gurunya iaitu Syeikh Ahmad al-Fatthani yang kemudiannya mendapat tempat di Makkah, Mesir, dan Turki. Beliau turun semula ke Alam Melayu pada tahun 1900. Di Singapura, beliau mula mengajar ilmu agama di ruang kecil di kedai kain milik ayahnya dan juga di kediamannya. Dikatakan bahawa selain mengajar, beliau turut mengusahakan perniagaan kain seperti ayahandanya. Dalam kesibukannya mengajar dan berniaga, beliau tidak lupa untuk turun berdakwah.
Beliau dikatakan pernah turun berdakwah hingga ke Pulau Pinang, Medan, Surabaya dan Bandung. Menyedari bahawa percetakan kitab sangat penting pada waktu itu untuk tujuan penyebaran ilmu maka beliau telah menubuhkan dua syarikat percetakan iaitu satu di Singapura dan satu lagi di Melaka. Syarikat percetakan di Singapura dikenali dengan nama Lathifiyah Press, 768 yang terletak di North Bird Road, Singapura manakala syarikat percetakan di Melaka dikenali dengan nama Mathba’ah Al-Lathifiyah Al-Malakawiyah yang beroperasi di Terengkera, Melaka. Beliau turut menjalinkan hubungan perniagaan dengan ramai peniaga di Singapura, Melaka, Pulau Pinang, Medan, Tanjung Pinang (Kepulauan Riau), Surabaya dan Bandung.
Diriwayatkan bahawa beliau gemar memakai tarbus dan merupakan seorang yang sangat dermawan. Kupasan yang menarik dan berkesan menyebabkan kuliah pengajarannnya sentiasa sahaja penuh dengan para penuntut ilmu. Ramai anak muridnya menjadi tokoh masyarakat antaranya seperti Ustaz Hasyim Yunus yang pernah menjadi pengarang Warta Malaya, Haji Junaid bin Imam Haji Ibrahim, Ustaz Muhammad bin Muhammad Sa’id dan ramai lagi. Syeikh Abdul Lathif Tambi termasuk dalam kelompok ulama Kaum Tua yang berpegang teguh mengikut Mazhab Syafi’i dan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Perkara ini telah diyatakan olehnya di muka hadapan kitab yang dikarangnya sendiri iaitu Hidayatur Rahman seperti berikut,
“Dinamakan dia Hidayatur Rahman pada menyatakan segala arkanul iman karangan al-Imam al-Fadhil al-Haj Abdul Lathif bin al-Haj Tambi negeri Melaka kejadiannya, Kampung Tengkera kediamannya, Syafi’i mazhabnya, Asy’ari aqidahnya. Dihapuskan kiranya oleh Allah Ta’ala segala kesalahannya dengan kemegahan Nabi Muhammad saw”.
Kajian yang dibuat oleh Md Sidin mendapati bahawa Syeikh Abdul Lathif Tambi ada mengarang kira-kira enam buah kitab. Kitab-kitab tersebut adalah seperti berikut,
1. Syair Bandung – Kitab syair ini diriwayatkan telah dikeluarkan oleh al-Ikhwan Press pada tahun 1917.
2. Hidayatur Rahman – Kitab ini diselesaikan penulisannya pada hari Isnin, 15 Jamadilawal 1318 H/1900 M. Kandungannya membicarakan tentang akidah menurut Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah. Kitab ini dicetak buat kali ketiga oleh syarikat miliknya sendiri iaitu Mathba’ah al-Lathifiyah al-Malakawiyah, Melaka pada akhir Syawal 1348 H.
3. Tazkiratus Sunnatil Basyar bi Ahkami Itsna `Asyar (Rangkapan) – Kitab ini diselesaikan penulisannya pada malam Sabtu, 13 Rabiulakhir 1343 H/1924 M. Kitab ini pernah dicetak oleh Mathba`ah Al-Ahmadiah yang beroperasi di 50 Minto Road, Singapura, 25 Jamadilakhir 1344 H.
Kandungan membicarakan beberapa masalah dan berbagai-bagai disiplin ilmu Islam terutama sekali beberapa pertikaian pendapat atau khilafiyah dalam Islam. Pada setiap perbahasan di beberapa tempat disebut kitab-kitab rujukan dalam bahasa Arab dan demikian juga kitab-kitab Melayu/Jawi lengkap dengan tahun cetakan dan halaman permasalahan yang dipetik.
Antara kitab yang dirujuk ialah Bidayatul Hidayah (dikarang oleh Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Acheh cetakan tahun 1333 H) dan Ad-Durruts Tsamin (dikarang oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani cetakan tahun 1338 H) mengenai perbahasan akidah; Mathla’ul Badrain (dikarang oleh Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani) dan Furu`ul Masail jilid kedua (dikarang oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani cetakan tahun 1307 H) mengenai perbahasan fikah; dan Sairus Salikin jilid ketiga (dikarang oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani cetakan tahun 1309 Hijrah) dan Hidayatus Salikin (dikarang oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani cetakan tahun 1340 Hijrah) mengenai perbahasan tasawuf.
4. Risalah Buat Sementara Yang Sebenarnya Kelak Ketara – Kitab ini diselesaikan penulisannya pada hari Jumaat, 23 Jamadilawal 1354 H/26 Ogos 1935 M).
Ia dicetak oleh Lathifiyah Press, Singapura, tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan perkara khilafiyah dan merupakan lanjutan atau memperkukuh sebuah karya yang ditulis oleh al-Alim al-‘Allamah Syeikh Abdul Muhaimin bin Abdul Aziz al-Lasami (Lasem).
5. Dalailul Khairat – Menurut Almarhum Tuan Guru Haji Wan Mohd Saghir Abdullah, kandungannya belum diketahui namun judulnya diperolehi melalui iklan Al-Ahmadiah Press pada halaman belakang risalah Ibu Di Dalam Rumahnya yang dikarang oleh Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan Riau, cetakan tahun 1926 M.
6. Qiblah Dalail al-Hairan fi Jawazi Hadmi Masjid as-Sulthan – Judul ini diketahui melalui karya beliau berjudul Tazkiratus Sunnatil Basyar bi Ahkami Itsna `Asyar (Rangkapan). Judul ini ditulis barangkali ada kaitan dengan peristiwa perombakan Masjid Sultan Singapura seperti yang diungkapkan dalam majalah Qalam pada ketika itu.
Ulama yang hartawan lagi dermawan ini menghembuskan nafas terakhir pada hari Jumaat pukul 2.30 tengah malam, 17 Rejab 1358 H/1 September 1939 M dalam usia 67 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Perkuburan Tengkera, Melaka.
Rujukan utama
1. Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Syeikh Abdul Lathif Tambi Ulama gigih, dermawan. Ruangan Bicara Agama. Utusan Malaysia. Terbit pada 1 Mac 2004
2. Md. Sidin Ahmad Ishak. 1998. Penerbitan dan Percetakan Buku Melayu 1807-1960. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur
Sumber:
https://www.facebook.com/426979547372500/photos/a.428023587268096.94121.426979547372500/869781856425598/?type=1
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan