Jumaat, 21 Mei 2010

Syeikh Wan Sulaiman

Ada yang berpandangan bahawa memasuki thariqat akan mengakibatkan kemunduran pembangunan duniawi, namun jika kita membaca karya-karya mengenai ilmu tersebut yang dikarang oleh ahlinya, termasuk karangan-karangan Syaikh Wan Sulaiman, tuduhan seperti itu adalah tidak benar. Sebagai contoh Wan Sulaiman adalah seorang ulama yang bergerak aktif sama ada untuk kepentingan duniawi dan ukhrawi. Wan Sulaiman juga telah mengeluarkan fatwa-fatwa mengenai Islam yang merupakan fatwa rasmi kerajaan Kedah pada zamannya. Di dalam sebuah kitab karangannya bertajuk Fakihat al-Janiyah, halaman 10, beliau mengatakan: “….. tidak sempurna insaniahnya ini melainkan dengan thariqat ….”

Sumber:
http://al-fanshuri-kenaliulama.blogspot.com/search/label/Ulama%60%20Kedah%20Darulaman

Selasa, 11 Mei 2010

Syeikh 'Abdul Lathif Tambi

‘Abdul Lathif Tambi termasuk ulama Kaum Tua yang berpegang teguh mengikut Mazhab Syafi’i dan Ahlus Sunnah wal Jama’ah.

Abdul Lathif Tambi menegaskan, `` ...Iktikad Ahlus Sunnah wal Jama'ah inilah iktikad yang betul,lagi sempurna daripada segala iktikad yang lain. Dan iktikad inilah, wahai thalib, yang dipegang oleh ulama yang besar-besar. Maka wajiblah di atas tiap-tiap mukalaf berpegang dengan iktikad mereka itu ...''.

Ada pun yang dimaksudkan dengan Ahlus Sunnah wal Jama’ah, iaitu ‘Abdul Lathif Tambi sama pendapatnya dengan jumhur ulama. Beliau menegaskan pada bahagian tepi kitab ini (Hidayatur Rahman) dengan katanya, ``Qauluhu, Ahlus Sunnah wal Jama’ah, iaitu mengikut iktikad (Imam) Abil Hasan al-‘Asy'ari dan (Imam) Abil Manshur al-Maturidi''.

Sumber :
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Kata Syeikh 'Abdullah Fahim :-

Walau bagaimanapun di atas selembar kertas dapat disemak jalan pemikirannya, di antaranya beliau (Syeikh 'Abdullah Fahim) menulis:

``Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang-orang bangsa Melayu se Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma'an. Tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada Mazhab Syafie ... ``

Abdullah Fahim menyebut nama kitab-kitab Arab yang dipegang di dalam Mazhab Syafie ialah, ``Ambil mereka itu hukum fikah Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya ... ``

Walaupun ilmu pengetahuan Arabiyahnya luas melaut, namun beliau juga merujuk kitab-kitab bahasa Melayu yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu yang terkenal.

Kitab-kitab yang beliau sebut ialah, ``Dan terjemahannya kepada bahasa Melayu, seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah at-Thullab, Mathla' al-Badrain dan lainnya''

Mengenai pegangan akidahnya, Abdullah Fahim menulis, ``Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy'ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah ... ``

Sumber :
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm