Ahad, 26 Julai 2015

Tuan Guru Haji Abdul Majid Bin Hj Abdul Karim








Tuan Guru Haji Abdul Majid Bin Hj Abdul Karim. Al-marhum seorang yang sangat warak sehinggakan tidak dijumpai gambar-gambarnya kecualilah yang ada pada kad pengenalannya. Al-marhum mula belajar agama dengan Tuan Haji Muhamad Haji Mustaffa, Kuala Jempol selama 3 tahun ( 1923 – 1925). Kecerdasan dan kebolehannya ketika menuntut diakui sendiri oleh Tuan Gurunya.
.
Selepas menuntut dengan Haji Muhamad Mustaffa, beliau memondok pula di Sik, Kedah selama 4 tahun ( 1925 – 1928). Dijangkakan beliau memondok ke sini atas seranan Tuan Haji Muhamad sendiri kerana berdasarkan kisahnya, Haji Muhamad pernah belajar ke Sik. Apabila ada peluang ke Mekah, Tuan Guru Haji Abdul Majid mengambil kesempatan mengikuti kuliah-kuliah di Masjidil Haram yang disampaikan oleh ulama terkemuka Mekah ketika itu. Sebagaimana yang kita sedia maklumi, awal abad ke 20an itu ramai penuntut-penuntut dan ulama tanah Jawi berkampung di sana. Beliau mengasaskan Pusat Pengajian Tinggi Darul Ulum Makkah Al Mukarramah bersama-sama rakan-rakannya. Tuan Guru Haji Abdul Majid akhirnya berjaya mendapat Syahadah Al Aliah Tinggi dari Institusi ini. Antara guru-guru beliau ialah Sheikh Hassan Masyhat, Sheikh Zaharuddin, Sheikh Muhsin dan lain-lain lagi.
Beliau tidak berminat untuk berkerja dengan mana-mana pihak kerana lebih cenderung untuk berdikari dalam mengembangkan syiar Islam secara lebih berkesan. Walau bagaimanapun, beliau diminta oleh Tuanku Abdul Rahman untuk mengajar agama di Istana setiap minggu. Pernah Allahyarham menganggotai Jawatankuasa Syariah dan Majlis Fatwa negeri setelah dipujuk oleh Sheikh Haji Ahmad Mufti kerajaan ketika itu. Dikatakan beliau hanya berkhidmat untuk beberapa tahun sahaja kerana tidak mahu terlibat dengan fatwa-fatwa yang yang dianggapnya tidak menepati pegangannya. Misalnya, beliau tidak setuju bertaqlid kepada satu-satu mazhab untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Dia lebih cenderung untuk berpegang kepada Mazhab As Syafieah sahaja untuk mengelakkan berlaku perpecahan di kalangan masyarakat negeri ini. Allahyarham sangat kuat beribadah dan doa-doa beliau selalu dimakbulkan Allah SWT.
Semoga Allah merahmatinya dan dihimpankan bersama orang-orang yang soleh.















Dato' Haji Mustaffa Haji Ahmad





Dato' Haji Mustaffa Haji Ahmad yang memulakan pengajiannya di pondok Tuan Haji Muhamad di Jempol pada tahun 1935-1936.Beliau melanjutkan pengajian agamanya di Darul Ullum Mekah pada tahun 1937-1944.Beliau berkelulusan Syahadat Nahiyah Minnal Qasmi Al'Ala iaitu sijil tertinggi dari Darul Ullum Mekah sambil mengaji sambilan di dalam Masjidil Haram dan di tempat-tempat kumpulan tertentu di Mekah pada tahun 1937-1946.
Guru-Gurunya.
Selain dari guru-gurunya di Darul Ullum Mekah, beliau mendapat pendidikan daripada ramai guru-guru agama yang lain. Di Antara guru-gurunya ialah:
1) Tuan Haji Ahmad Bilal - Padang Lalang Jempol.
2) Tuan Lebai Abd. Kahar-Padang Lalang Jempol.
3) Tuan Lebai Hashim Abd. Rahman-Padang Lebar Jempol.
4) Tuan Haji Muhammad - Jempol.
5) Tuan Syeikh Abdul Karim Mandili - Mekah.
6) Tuan Ismail Fathani-Mekah
7) Tuan Syeikh Syed Amin Qutbi-Mekah.
8) Tuan Syeikh Syed 'Alwi 'Abbas Maliki -Mekah.
9) Tuan Syeikh Syed Hussin Abdulghani Pelembang-Mekah.
10) Tuan Syeikh Syed Ahid Idris Bogor-Mekah.
11) Tuan Syeikh Syed Muhammad Ali Maliki-Mekah.
12) Tuan Syeikh Syed Abdul Qadir Mandili-Mekah.
13) Tuan Syeikh Syed Haji Abdullah Haji Sijang-Bekas Qadhi Port Dickson dan lain-lain.
Semoga Allah merahmatinya.










Khamis, 23 Julai 2015

Syaikh 'Abdul Lathif Tambi Al-Malakawi (Ulama' Melaka)





(Tokoh Ulama Melaka)
Syeikh Abdul Lathif Tambi Al-Malakawi 

Salah seorang ulama besar Melaka yang pernah menjadi kader Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tokoh ulama Melayu di Makkah ialah Syeikh Abdul Lathif Tambi. Syeikh Abdul Latif bukan sahaja mengikuti jejak langkah gurunya itu dalam bidang penulisan tetapi juga turut aktif dalam bidang percetakan dan penerbitan kitab-kitab. Tokoh ulama yang berasa dari Melaka ini dilahirkan di Kampung Teluk Mas, Melaka pada tahun 1872 Masehi bersamaan dengan 1288 Hijriyyah. Nama lengkapnya ialah Haji Abdul Lathif bin Haji Muhammad Nuruddin (Haji Tambi) bin Muhammad Shalih al-Malakawi at-Tankirawi. Gelarannya ialah Bahauddin.

Gelaran ini diberikan oleh seorang ulama besar Melaka yang hidup sezaman dengan beliau iaitu Syeikh Ahmad bin Abdur Rauf. Asal-usul nenek moyangnya dikatakan berasal dari India. Walaupun dilahirkan di Melaka, usia kecilnya banyak dihabiskan di Singapura. Keluarganya sangat memberi perhatian kepada pendidikan agama.

Lantaran itu, ketika beliau berusia 8 tahun, beliau sudah dihantar oleh ayahandanya ke Makkah untuk menimba ilmu di sana. Beliau menadah kitab kepada ulama-ulama besar di Makkah selama 20 tahun. Di antara ulama-ulama dunia Melayu yang menjadi guru-gurunya di Makkah ialah seperti Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Shabir Mandailing dan Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau.

Diriwayatkan bahawa beliau turut terlibat membantu gerakan Jam’iyatul Fathaniyah yang dicetuskan oleh gurunya iaitu Syeikh Ahmad al-Fatthani yang kemudiannya mendapat tempat di Makkah, Mesir, dan Turki. Beliau turun semula ke Alam Melayu pada tahun 1900. Di Singapura, beliau mula mengajar ilmu agama di ruang kecil di kedai kain milik ayahnya dan juga di kediamannya. Dikatakan bahawa selain mengajar, beliau turut mengusahakan perniagaan kain seperti ayahandanya. Dalam kesibukannya mengajar dan berniaga, beliau tidak lupa untuk turun berdakwah.

Beliau dikatakan pernah turun berdakwah hingga ke Pulau Pinang, Medan, Surabaya dan Bandung. Menyedari bahawa percetakan kitab sangat penting pada waktu itu untuk tujuan penyebaran ilmu maka beliau telah menubuhkan dua syarikat percetakan iaitu satu di Singapura dan satu lagi di Melaka. Syarikat percetakan di Singapura dikenali dengan nama Lathifiyah Press, 768 yang terletak di North Bird Road, Singapura manakala syarikat percetakan di Melaka dikenali dengan nama Mathba’ah Al-Lathifiyah Al-Malakawiyah yang beroperasi di Terengkera, Melaka. Beliau turut menjalinkan hubungan perniagaan dengan ramai peniaga di Singapura, Melaka, Pulau Pinang, Medan, Tanjung Pinang (Kepulauan Riau), Surabaya dan Bandung.

Diriwayatkan bahawa beliau gemar memakai tarbus dan merupakan seorang yang sangat dermawan. Kupasan yang menarik dan berkesan menyebabkan kuliah pengajarannnya sentiasa sahaja penuh dengan para penuntut ilmu. Ramai anak muridnya menjadi tokoh masyarakat antaranya seperti Ustaz Hasyim Yunus yang pernah menjadi pengarang Warta Malaya, Haji Junaid bin Imam Haji Ibrahim, Ustaz Muhammad bin Muhammad Sa’id dan ramai lagi. Syeikh Abdul Lathif Tambi termasuk dalam kelompok ulama Kaum Tua yang berpegang teguh mengikut Mazhab Syafi’i dan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Perkara ini telah diyatakan olehnya di muka hadapan kitab yang dikarangnya sendiri iaitu Hidayatur Rahman seperti berikut,

“Dinamakan dia Hidayatur Rahman pada menyatakan segala arkanul iman karangan al-Imam al-Fadhil al-Haj Abdul Lathif bin al-Haj Tambi negeri Melaka kejadiannya, Kampung Tengkera kediamannya, Syafi’i mazhabnya, Asy’ari aqidahnya. Dihapuskan kiranya oleh Allah Ta’ala segala kesalahannya dengan kemegahan Nabi Muhammad saw”.

Kajian yang dibuat oleh Md Sidin mendapati bahawa Syeikh Abdul Lathif Tambi ada mengarang kira-kira enam buah kitab. Kitab-kitab tersebut adalah seperti berikut,

1. Syair Bandung – Kitab syair ini diriwayatkan telah dikeluarkan oleh al-Ikhwan Press pada tahun 1917.

2. Hidayatur Rahman – Kitab ini diselesaikan penulisannya pada hari Isnin, 15 Jamadilawal 1318 H/1900 M. Kandungannya membicarakan tentang akidah menurut Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah. Kitab ini dicetak buat kali ketiga oleh syarikat miliknya sendiri iaitu Mathba’ah al-Lathifiyah al-Malakawiyah, Melaka pada akhir Syawal 1348 H.

3. Tazkiratus Sunnatil Basyar bi Ahkami Itsna `Asyar (Rangkapan) – Kitab ini diselesaikan penulisannya pada malam Sabtu, 13 Rabiulakhir 1343 H/1924 M. Kitab ini pernah dicetak oleh Mathba`ah Al-Ahmadiah yang beroperasi di 50 Minto Road, Singapura, 25 Jamadilakhir 1344 H.

Kandungan membicarakan beberapa masalah dan berbagai-bagai disiplin ilmu Islam terutama sekali beberapa pertikaian pendapat atau khilafiyah dalam Islam. Pada setiap perbahasan di beberapa tempat disebut kitab-kitab rujukan dalam bahasa Arab dan demikian juga kitab-kitab Melayu/Jawi lengkap dengan tahun cetakan dan halaman permasalahan yang dipetik.

Antara kitab yang dirujuk ialah Bidayatul Hidayah (dikarang oleh Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Acheh cetakan tahun 1333 H) dan Ad-Durruts Tsamin (dikarang oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani cetakan tahun 1338 H) mengenai perbahasan akidah; Mathla’ul Badrain (dikarang oleh Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani) dan Furu`ul Masail jilid kedua (dikarang oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani cetakan tahun 1307 H) mengenai perbahasan fikah; dan Sairus Salikin jilid ketiga (dikarang oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani cetakan tahun 1309 Hijrah) dan Hidayatus Salikin (dikarang oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani cetakan tahun 1340 Hijrah) mengenai perbahasan tasawuf.
4. Risalah Buat Sementara Yang Sebenarnya Kelak Ketara – Kitab ini diselesaikan penulisannya pada hari Jumaat, 23 Jamadilawal 1354 H/26 Ogos 1935 M).

Ia dicetak oleh Lathifiyah Press, Singapura, tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan perkara khilafiyah dan merupakan lanjutan atau memperkukuh sebuah karya yang ditulis oleh al-Alim al-‘Allamah Syeikh Abdul Muhaimin bin Abdul Aziz al-Lasami (Lasem).

5. Dalailul Khairat – Menurut Almarhum Tuan Guru Haji Wan Mohd Saghir Abdullah, kandungannya belum diketahui namun judulnya diperolehi melalui iklan Al-Ahmadiah Press pada halaman belakang risalah Ibu Di Dalam Rumahnya yang dikarang oleh Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan Riau, cetakan tahun 1926 M.

6. Qiblah Dalail al-Hairan fi Jawazi Hadmi Masjid as-Sulthan – Judul ini diketahui melalui karya beliau berjudul Tazkiratus Sunnatil Basyar bi Ahkami Itsna `Asyar (Rangkapan). Judul ini ditulis barangkali ada kaitan dengan peristiwa perombakan Masjid Sultan Singapura seperti yang diungkapkan dalam majalah Qalam pada ketika itu.

Ulama yang hartawan lagi dermawan ini menghembuskan nafas terakhir pada hari Jumaat pukul 2.30 tengah malam, 17 Rejab 1358 H/1 September 1939 M dalam usia 67 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Perkuburan Tengkera, Melaka.

Rujukan utama
1. Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Syeikh Abdul Lathif Tambi Ulama gigih, dermawan. Ruangan Bicara Agama. Utusan Malaysia. Terbit pada 1 Mac 2004

2. Md. Sidin Ahmad Ishak. 1998. Penerbitan dan Percetakan Buku Melayu 1807-1960. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur


Sumber:
https://www.facebook.com/426979547372500/photos/a.428023587268096.94121.426979547372500/869781856425598/?type=1




MANAQIB RINGKAS 'GURU TUA' AL HABIB IDRUS BIN SALIM AL-JUFRI





MANAQIB RINGKAS 'GURU TUA' AL HABIB IDRUS BIN SALIM AL-JUFRI (LEMBAGA AL-KHAIRAT)
بِكُم يَا حَبِيْبَ الله أرَجُو شَفَاعَةً
Denganmu wahai kekasih Allah aku mengharap syafaat
وَالمرتَضَى والسَّيدَيْنِ وبِالحَسَنَا
Dan dengan al-Murtadha, Hasan, Husain dan keduanya
سَفِينَةُ نُوحٍ قَدْ نجَا مَن بهَا النَّجَا
Bahtera Nuh maka selamat siapa yang di dalamnya
هُمُو وَلَعُمرِي أدْرَكَ الفَوزَ والأمْنَا
Demi hidupku, mereka telah mendapat kemenangan dan keamanan
تَمَسَّك بحِزْبِ الفَطِمِيِّينَ تَهتَدِي
Berpegang teguhlah dengan kelompok Fatimah pasti mendapat petunjuk
فَمَنْ لَمْ يَكُن مِن حِزبِهِم يَقْرَعُ السَّنَا
Siapa yang bukan dari kelompoknya sungguh telah melepas ridanya
وَلا بَأسَ في الدُّنْيَا عَلى مِن يُحِبُّهُمْ
Tiada khawatir di dunia siapa yang mencintai mereka
وَلا خَوْفٌ في لأُخْرَى يَرَاهُ وَلا حُزْنَا
Tiada ketakutan melihatnya di akhirat tidak pula bersedih
(Syair al Alimul Allamah al Daieilallah al Waliy 'Guru Tua' al Habib Idrus bin Salim al Jufri rahimahullah taalaanhu wa nafaana bihi wa biulumihi fiddoryn, amiin)
MUQADDIMAH
"Ana menamakan madrasah ini Al-Khairat, sempena mengambil barokah dari Lembaga Al-Khairat (yang diasaskan Guru Tua al Habib Idrus bin Salim al Jufri)" - al Mukarram al Habibul Mahbuub Muhammad bin Alawi bin Muhammad al Atthas
Madrasah al-Khairat Kuching dibangun seawal tahun 1989. Saat itu al Habib Muhammad bin Alawi al-Atthas dengan semangat dakwah dan bekalan ilmu tiupan guru tercinta Abuya Sidi Muhammad bin Alawi al Maliki Rahimahullah taala anhu menjadikan aspirasi penubuhan Lembaga Al-Khairat di Jakarta sebagai inspirasi walaupun beliau sendirian. Setelah itu awal tahun 90-an, beliau dibantu al fadhil Ustaz Rafaie dan al Ustadz Sayyidul Habib Mustofa bin Ali al Haddad, kedua-duanya asal Indonesia untuk meneruskan perjuangan madrasah beliau.
Siapakah 'Guru Tua' pengasas Lembaga Al-Khairaat yang menjadi inspirasi guru kita al-Habib Muhammad ini? InsyaAllah kita kongsikan bersama managib ringkas beliau...
NASAB DAN AWAL KEHIDUPAN BELIAU
'Guru tua', begitu Beliau disapa. Beliau adalah Ulama Hadamaut yang hijrah ke Indonesia untuk menjaga benteng pertahanan akidah Islam di Sulawesi dari rongrongan ancaman Missionaris Kristen. Beliaulah pendiri Yayasan Alkhairaat, yang kini terdiri dari TK, SD, SMP,SMA, SMK,MI, MTS, MA hingga Universitas. Lembaga-lembaga pendidikan Islam Al-Khairaat berpusat di Kota Palu dan menyebar ke daerah sekitar, menjadikannya sebagai pintu gerbang dakwah Islam di Kawasan Timur Nusantara.
Nasab Beliau adalah : Habib Idrus bin Salim bin Alwi bin Segaf bin Alwi bin Abdullah bin Husein bin Salim bin Idrus bin Muhammad bin Abdullah bin Alwi bin Abu Bakar Aljufri bin Muhammad bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Alwi bin Muhammad bin Alwi bin Ali bin Muhammad Faqqqih Al-Muqaddam bin Alwi bin Abdullah bin Ahmad Al-Muhajir bin Isa An-Naqib bin Ali AL-‘Uraidhi bin Jakfar As-Shadiq bin Muhammad Al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Husein bin Ali bin Abi Thalib suami Fatimah Azzahrah binti Rasulullah shallahu alaihi wa sallam.
Habib Idrus lahir di kota Taris, 4 km dari ibu kota Seiwun, Hadramaut, pada 14 sya’ban 1309 H bertepatan dengan 15 Maret 1881 M. Beliau mendapat pendidikan agama langsung dari ayah dan lingkungan keluarganya. Ayah beliau, Habib Salim adalah seorang qadhi (hakim) dan mufti (Ulama yang memiliki otoritas mutlak untuk memberi fatwa) di Kota Taris, Hadramaut. Sedangkan kakek Beliau, Al Habib Alwi bin Segaf Aljufri, adalah seorang ulama di masa itu. Beliau adalah salah satu dari lima orang ahli hukum di Hadramaut yang fatwa-fatwanya terkumpul dalam kitab Bulughul Musytarsyidin, karya Al-Imam Al-habib Abdurrahman Al-Masyhur.
Tatkala Habib Idrus menginjak usia remedial, ayah Beliau Al-Habib Salim melihat bahwa kelak anak nya ini bisa menggantikannya. Beliaupun mendidik anaknya tersebut secara khusus. Habib Salim membuatkan kamar khusus bagi anaknya agar dapat berkonsentrasi dalam belajar. Habib Idrus kemudian mendalami berbagai Ilmu seperti tafsir, hadits, tasawuf, fiqih, Tauhid, Mantiq, ma’ani, bayan, badi’, nahwu, sharaf, falaq, tarikh dan sastra. Selain pada ayahnya, Habib Idrus juga belajar kepada Para Ulama dan Auliya’ di Hadramaut, diantaranya adalah : Al-Habib Muhsin bin Alwi Assegaf, Al-Habib Abdurrahman bin Alwi bin Umar Assegaf, Al-Habib Muhammad bin Ibrahim bilfaqih, Al-Habib Abdullah bin Husein bin Sholeh Al-Bahar, Al-Habib Idrus bin Umar Al-Habsyi. Dan Al-Habib Abdullah bin Umar As-Syathiri di Rubath Tarim.
BERHIJRAH KE INDONESIA
Kemudian pada tahun 1327 H. atau sekitar tahun 1909 M bersama sang ayah, Habib Idrus berangkat ke tanah suci untuk menunaikan ibadah haji dan berziarah ke makam datuknya Rasulullah salallahu alaihi wasallam di Madinah. Di sana mereka menetap selama enam bulan. Selama itu Habib Salim memanfaatkan waktunya untuk mengajak putranya ini berziarah kepada para ulama dan Auliya’ yang berada di Hijaz pada masa itu, untuk memminta berkah, do’a serta ijazah dari mereka. Salah satunya kepada Sayyid Abbas Al-Maliki Al-Hasani di Makkah. Habib Salim kemudian membawa putranya kembali ke Hadramaut. Setelah itu beliau membawa Habib Idrus berlayar ke Indonesia tepatnya di kota Manado untuk menemui ibunya Syarifah Nur Al-Jufri serta Habib Alwi dan Habib Syekh yang merupakan kedua saudara kandung Habib Idrus yang telah terlebih dahulu hijrah ke Indonesia. Setelah beberapa waktu di Indonesia, Habib Idrus dan ayahnya kembali ke Hadramaut. Sebtibanya di Hadramaut, Habib Idrus mengajar di Madrasah yang dipimpin oleh ayah beliau.
Setelah itu Habib Idrus menikah dengan Syarifah Bahiyah, yang kemudian dikaruniai tiga orang anak: Habib Salim, Habib Muhammad dan Syarifah Raguan. Pada bulan Syawwal 1334 H bertepatan dengan 1906 M ayah beliau wafat. Dan pada tahun itu pula Habib Idrus diangkat oleh Sultan Mansur sebagai Mufti dan Qadhi di kota Taris, Hadramaut, padahal usianya saat itu baru 25 Tahun.
Semenjak tahun 1839 M Hadramaut berada dalam penjajahan Inggris. Pada masa penjajahan Inggris itulah Habib Idrus bersama seorang sahabatnya, Habib Abdurrahman bin Ubaidillah (keduanya dikenal sebgai ulama yang moderat) bermaksud ke Mesir untuk mempublikasikan kekjaman Inggris dan pelanggaran Hak Asasi Manusia yang dilakukan oleh Inggris di Hadramaut. Setelah sesuatunya dipersiapkan dengan matang dan rapi, keduanya berangkat melalui Pelabuhan Aden. Namun di Pelabuhan Laut Merah itu rencana mereka diketahui oleh pasukan Inggris. Keduanya ditangkap, dokumennya disita dan dimusnahkan. Setelah ditanah beberapa waktu kemudian mereka dibebaskan dengan syarat, mereka tidak diperbolehkan bepergian ke negeri Arab manapun. Setelah kejadian itu Habib Abdurrahman memilih tinggal di Hadramaut, sedangkan Habib Idrus memilih hijrah ke Indonesia.
Pada tahun 1925 M Habib Idrus kembali untuk kedua kalinya ke Indonesia. Pada mulanya beliau tinggal di Pekalongan, Jawa Tengah. Di sana beliau menika dengan Syarifah Aminah Al-Jufri. Dari pernikahan tersebut beliau dikaruniai dua anak perempuan, Syarifah Lulu’ dan Syarifah Nikmah. Syarifah Lulu’ kemudian menikah dengan Sayyid Segaf bin Syekh Al-Jufri, yang salah seorang anaknya adalah Dr.Salim Segaf Al-Jufri, Duta besar Indonesia untuk Arab Saudi periode sekarang.
BERPINDAH KE KOTA JOMBANG DAN MENDIRIKAN MADRASAH AL-KHAIRAT
Pada tahun 1926 M beliau pindah ke kota Jombang, disana beliau mengajar dan berdagang. Namun di penghujung tahun 1928 M karena seringkali mengalami kerugian dalam berdagang, Habib Idrus berhenti Berdagang dan memulai mengajar. Di tahun itu pula beliau pindah ke kota Solo. Pada tanggal 27 Desember 1928 bersama beberapa Habaib beliau mendirikan Madrasah Rabithah Alawiyah di kota Solo. Namun, pada akhir tahun 1929 M Habib Idrus meninggalkan kota Solo dan hijrah ke Sulawesi. Beliau kemudian berlayar menuju Manado. Ketika kapalnya singgah di Donggala, Habib Idrus menggunakan kesempatan itu untuk berkonsolidasi dengan komunitas Arab yang dipimpin Syekh Nasar bin Khams Al-Amri, di situ beliau mengutarakan tentang rencananya untuk mendirikan madrasah di kota Palu.
Setibanya di Manado, Habib Idrus mendapatkan telegram tentang hasil musyawarah masyarakat arab yang ada di Kota Palu mengenai pendirian Madrasah. Pada akhirnya disepakati bersama bahwa sarana pendidikan berupa gedung akan disiapkan oleh masyarakat arab Palu, sedangkan gaji guru, Habib Idrus yang akan mengusahakannya. Pada awal 1930 M Habib Idrus menuju kota Palu. Dan pada tanggal 30 Juni 1930 M setelah mengurus prizinan pendirian dan surat-surat lainnya ke pemerintah Hindia Belanda, maka, diresmikanlah Madrasah Al-Khairaat di Kota Palu.
Dalam perkembangannya, pengelolaan Madrasah sepenuhnya ditangani oleh Habib Idrus. Para murid yang belajar di sana tidak dipungut biaya sama sekali. Hal ini karena Habib Idrus mengadaptasi sistem pendidikan arab yang pada umumnya tidak memungut biaya kepada para muridnya. Sehingga para murid lebih fokus dalam belajar. Habib Idrus membrikan gaji kepada para guru dan staf sekolah dari hasilnya berdagang.
HABIB IDRUS DAN PERGURUAN AL-KHAIRAT
Habib Idrus mengajar para santrinya dengan penuh dedikasi dan profesionalitas yang tinggi. Keikhlasan dan keuletan beliau telah membuahkan hasil. Perguruan Al-Khairaat waktu itu telah menghasilkan guru-guru Islam yang handal yang kemudian disebarkan ke seluruh pelosok Sulawesi Tengah, Sulawesi Utara, Maluku, dan Irian Jaya. Keberadaan perguruan Al-Khairaat dan para santrinya telah berhasil membentengi kawasan Timur Indonesia dari para penginjil, yang waktu itu pada masa Hindia Belanda ada tiga organisasi yang bertugas mengkristenkan suku-suku terasing di Sulawesi Tengah. Mereka adalah Indische Kerk (IK) berpusat di Luwu, Nederlands Zending Genootschap (NZG) berpusat di Tentena, dan Leger Dois Hest (LDH) berpusat di Kalawara.
Pada tanggal 11 Januari 1942 M Jepang menduduki Sulawesi dan menjadikan kota Manado sebagai pusat pangkalan di Kawasan Timur Indonesia. Tidak berselang lama stelah itu, Jepang memerintahkan penutupan perguruan Al-Khairaat. Selama tiga setengah tahun kependudukan Jepang, Habib Idrus tidak menyerah sedikitpun untuk mengajar para muridnya. Proses belajar mengajar tetap berlangsung meskipun secara sembunyi-sembunyi. Lokasi pembelajarandialihkan ke desa Bayoge, yang berjarak satu setengah kilometer dari lokasi perguruan Al-Khairaat. Pengajarannya dilaksanakan pada malam hari dan hanya menggunakan penerangan seadanya, para muridnya datang satu persatu secara sembunyi- sembunyi. Tepat saat kemerdekaan Republik Indonesia pada tanggal 17 Agustus 1945 Habib Idrus kembali membuka perguruan Al-Khairaat secara resmi. Beliau berjuang kembali untuk mengembangkan dakwah dan pendidikan Islam. Hingga selama kurun waktu 26 tahun (1930-1956) lembaga yang telah dirintisnya ini telah menjangkau seluruh kawasan Indonesia Timur.
PERGURUAN AL-KHAIRAT KEPADA UNIVERSITAS AL-KHAIRAT
Perguruan Alkhairaat kemudian mengembangkan sayapnya dengan membuka perguruan tinggi pada tahun 1964 M dengan nama Universitas Islam Al-Khairaat dengan tiga fakultas di dalamnya, yaitu: Fakultas Sastra, Fakultas Tarbiyah, dan Fakultas Syariah. Dan Habib Idrus sebagai Rektor pertamanya. Ketika terjadi peristiwa pemberontakan G30S PKI pada tahun 1965, perguruan tinggi Al-Khairaat dinonaktifkan untuk sementara. Para Mahasiswanya diberikan tugas untuk berdakwah di daerah-daerah terpencil kawasan Sulawesi. Hal ini sebagai upaya untuk membendung paham komunis sekaligus melebarkan dakwah Islam. Setelah keadaan kondusif, pada tahun 1969 perguruan Tinggi Al-Khairaat dibuka kembali.
KEWAFATAN GURU TUA DAN KARYA AGUNG BELIAU- LEMBAGA AL-KHAIRAT
Masih dalam suasana Idul Fitri, sakit parah yang telah lama diderita Habib Idrus kembali kambuh. Bertambah hari sakitnya semakin berat. Maka, guru, Ulama dan Sastrawan itu wafat, pada hari senin 12 Syawwal 1389 H betepatan dengan 22 Desember 1969 M. sebelum menjelang detik-detik kewafatannya, Habib Idrus sudah mewasiatkan tentang siapa saja yang memandikan jenazah, imam shalat jenazah, tempat pelaksanaan shalat jenazah, siapa yang menerima jenazah di Liang lahat, muadzin di liang lahad, sampai yang membaca talqin di kubur.
Habib Idrus tidak meninggalkan karangan kitab, namun karya besarnya adalah Al-Khairaat dan murid-muridnya yang telah memberikan pengajaran serta pencerahan agama kepada umat. Mereka para murid-murid Al-Khairaat meneybar di seluruh kawasna Indonesia untuk meneruskan perjuangan sang Pendidik yang tak kenal putus asa ini. Salah satu murid belia yang melanjutkan dakwahnya adalah Ustad Abdullah Awadh Abdun, yang hijarh dari kota Palu ke Kota Malang untuk berdakwah dan mendidik para muridnya dengan mendirikan pesantren Daarut Tauhid di Kota Malang. Ketika wafat, Habib Idrus telah mewariskan 25 cabang Alkhairaat dan ratusan sekolah, serta beberapa madrasah yang beliau dirikan kala hidupnya. Kini perguruan Besar Alkahiraat danYayasan Al-khairaat, dibentuk pula Wanita Islam Al-Khairaat dan Himpunan Pemuda Al-Khairaat.












Syaikh 'Abdullah Fahim







ULAMAK YANG MENETAPKAN TARIKH KEMERDEKAAN MALAYA
Beliau adalah Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Ibrahim bin Haji Thahir. Lebih di kenali disini dengan nama Syaikh 'Abdullah Fahim. Dilahirkan di Syi’ib ‘Ali, Mekah pada pada tahun 1286H/1869M, dan wafat pada tanggal 12 Dhulqaedah 1380H/ 27 April 1961M di Seberang Perai, Pulau Pinang. Tuan Guru Haji ‘Abdullah berguru kepada ulama yang masyhur, di dalam pelbagai displin ilmu.
Di antara guru-guru beliau ialah:
1 - Syaikh Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi (murid Sidi Ahmad Zaini Dahlan dan pengarang kitab I`aanathuth -Tholibin yang masyhur. Jelas bahawa terdapat hubungan sanad keilmuan antara beliau dengan Sidi Ahmad Zaini.;
2 - Syaikh Muhammad Sa`id BabShil (Mufti Mazhab Syafie);
3 - Syaikh Muhammad Sulaiman Hasbullah al-Makki;
4 - Syaikh Sayyid Muhammad Amin ar-Rdhwan, Madinah;
5 - Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani (pengarang kitab Mathla’ al-Badrain);
6 - Syaikh Wan 'Ali Kutan al-Kalantani (pengarang kitab al-Jauhar al-Mauhub dan Lum’ah al-Aurad);
7 - Syaikh Wan Ahmad Muhammad Zain al-Fathani (pengasas pengkaderan ulama dunia Melayu di Mekah. Beliau dikatakan mahir di dalam sekurang-kurangnya 47 disiplin ilmu).
Beliau mahir di dalam pelbagai displin ilmu, terutamanya di dalam ilmu falak dan kesusteraan arab. Dengan kedudukan ilmu beliau ini, Haji Abdullah telah diterima sebagai salah seorang guru di Masjidil Haram sehingga 1921.
Beliau telah turun ke Tanah Melayu pada 1921 kerana semangatnya untuk memperjuangkan pembebasan tanahair dan bangsanya dari belenggu penjajah. Selepas pulang ke Tanah Melayu, beliau dijemput oleh Syaikhul Islam Kedah, Syaikh Wan Sulaiman Wan Sidiq untuk mengajar di Pondok Wan Sulaiman atau Madrasah Limbongan Kapal (kini Maahad Mahmud) selama empat tahun.
Pada 1926, beliau kembali ke Kepala Batas dengan tujuan menubuhkan sebuah institusi pendidikan bagi melahirkan anak bangsa yang boleh memperjuangkan kemerdekaan negara. Beliau menamakan pusat pengajiannya sebagai “Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah”.
Pada 1930, Sheikh Abdullah Fahim dijemput oleh Sultan Perak untuk menjadi Mudir Madrasah Idrisiyah, Bukit Chandan. Beliau berkhidmat sebagai Mudir Madrasah Idrisiyah sehingga 1946. Pada 1951, Haji Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang pertama dan beliau berkhidmat selama lima tahun. Selepas itu, beliau hanya menumpukan kepada kegiatan keilmuan di Kepala Batas dengan menjadi guru agama di sana.
Ketika hendak mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu dari penjajah Inggeris, Tunku 'Abdurrahman Puta al-Haj menemui beliau untuk mendapatkan tarikh yang sesuai. Dan beliau telah mencadangkan tarikh 31 Ogos 1957. (insyaAllah akan ditulis sedikit tentang ini nanti ...)
Beliau juga adalah seorang yang tegas, terutama dalam menghadapi anasir yang membuatkan masyarakat Melayu Islam berpecah belah ketika itu. Ini dapat dilihat pada pesanan beliau:
"بسم الله الرحمن الرحيم. الحمدلله والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه . اما بعد
Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu se Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma'an. Tiada seorangpun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafie (يحرم خرق الاجماع). – [diharamkan merobek ijma’]
Ambil mereka itu hukum-hukum feqah Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah al-Tullab, dan Matla’ al-Badrain dan lainnya. Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy'ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu. Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya' Ulumiddin dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Siyarus Salikin.
Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya, segala hukum dalamnya kesemuanya mengistinbat daripada al-Quran dan hadits yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-ulama ajilla', diamal dengan dia sudah lebih daripada seribu tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.'
[Dirumikan dari tulisan tangan Tuan Guru Hj Abdullah Fahim yang disiarkan di dalam buku Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2); Terbitan Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan; Cetakan Tahun 1996; Halaman 39]
Antara pesanan al-Marhum Tuan Guru lagi:
“(Nasihat) supaya jangan berpecah belah oleh bangsa Melayu sendiri. Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang keluar dari mazhab empat mazhab ahli al-Sunnah wal Jamaah [yang beliau maksudkan adalah golongan kaum muda @ Wahabi][1]. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang sejati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu……. hukum-hukum mereka itu diambil dari kitab Huda al-Rasul yang mukhasar daripada kitab Huda al-‘Ibad dikarang akan dia oleh Ibnu Qayyim al-Khariji, maka Ibnu al-Qayyim dan segala kitabnya ditolak oleh ulama' Ahl as-Sunnah wa al-Jamaah."
"Tuan-tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum-hukum yang tiada terpakai dalam mazhab Syafie, dan fatwa mereka itu masalah yang buruk-buruk, sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa Melayu jangan berpecah belah sesama bangsa sendiri …… "
Bahkan pesanan beliau lebih keras lagi: “Siapa yang datang kepada kamu dan menyuruh kamu semua supaya taat kepada seorang lelaki tertentu tujuannya untuk memecahkan persatuan kamu dan menghancurkan kesatuan kamu, maka bunuhlah akan dia (takwil admin kata 'bunuh' dengan 'bunuh dengan hujjah ilmiyyah) wallahualam

https://www.facebook.com/426979547372500/photos/a.428023587268096.94121.426979547372500/814261851977599/?type=1






Mengenali Syeikh Abdullah Fahim - Ulama mahir ilmu falak (Datuk kepada Perdana Menteri Malaysia Abdullah Ahmad Badawi)
ABDULLAH bin Ibrahim bin Tahir dipanggil dengan nama Haji Abdullah Pak Him. Pak Him ialah singkatan nama ayahnya, Ibrahim. Nama atau gelaran yang diketahui umum ialah Syeikh Abdullah Fahim.
Fahim yang dimaksudkan di sini ialah `Fahim' yang berasal daripada bahasa Arab, yang bererti `orang yang faham'.
Beliau lahir di Mekah pada tahun 1286 Hijrah/1869 Masihi, dan wafat pada tanggal 12 Zulkaedah 1380 Hijrah/ 27 April 1961 Masihi di Seberang Perai, Pulau Pinang.
Syeikh Abdullah Fahim mendapat pendidikan asas tradisional daripada ayahnya sendiri, Haji Ibrahim bin Tahir di Mekah.
Ayahnya seorang yang alim mengenai bacaan al-Quran. Datuknya pula, Haji Tahir berasal dari Patani. Dikatakan juga bahawa beliau memahami ilmu-ilmu Islam tradisional cara Patani.
Ilmu yang dikuatkan adalah tiga jenis; ilmu yang berkaitan dengan fardu ain, iaitu menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, berimamkan Imam Abu Hasan al-Asy`ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.
Kedua, ilmu fikah mengikut Mazhab Syafie, dan ketiga, ilu tasawuf berimamkan Syeikh Junaid al-Baghdadi.
Selanjutnya Syeikh Abdullah Fahim mendapat pendidikan pelbagai bidang ilmu juga di Mekah. Beliau menuntut ilmu daripada kira-kira 50 orang ulama.
Di antara gurunya yang berbangsa Arab ialah Syeikh Muhammad Said Babsail (Mufti Mazhab Syafie), Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayed Abu Bakri Syatha (penyusun kitab I'anah at-Thalibin)
Ulama dari dunia Melayu yang menjadi gurunya yang paling berpengaruh baginya ialah Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al- Fathani (penyusun kitab Mathla' al-Badrain), Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan, al-Kalantani (penyusun Al-Jauhar al-Mauhub dan Lum'ah al-Aurad) dan Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (pengasas pengkaderan ulama dunia Melayu di Mekah yang dikatakan mempunyai kemahiran sekurang-kurangnya 47 disiplin ilmu).
Sewaktu menuntut ilmu di Mekah, Syeikh Abdullah Fahim bersahabat dengan beberapa orang yang berasal dari dunia Melayu, yang kemudian menjadi ulama dan tokoh-tokoh yang cukup terkenal.
Di antara mereka ialah: Tuan Guru Haji Umar, Sungai Keladi Kelantan (1284 H/1867 M -1366 H/1947 M), Syeikh Tahir Jalaluddin, Minangkabau (1286 H/1869 M-1376 H/1956 M), K.H. Hasyim Asy'ari, Jawa Timur (1287 H/1871 M-1366 H/1947 M), Tok Kenali, Kelantan (1287 H/1871 M-1352 H/1933 M) dan ramai lagi.
Syeikh Abdullah Fahim seorang yang gigih mengajar kepada masyarakat dan menyebarkan ilmu-ilmu keIslaman, sama ada ketika menjawat jawatan Mufti Pulau Pinang atau sebelumnya.
Beliau pernah mengajar di beberapa tempat di Kedah, Kuala Kangsar, Perak dan Pulau Pinang. Selanjutnya beliau berhasil mendirikan sekolah agama di Seberang Perai Utara.
Kepakaran ilmunya:
Syeikh Abdullah Fahim termasuk salah seorang ulama yang mahir dalam ilmu falak. Oleh kerana itu pendapatnya telah diminta untuk menentukan waktu yang sesuai bagi kemerdekaan Malaya.
Berdasarkan hisab dan falak Syeikh Abdullah Fahim, ditentukanlah bahawa hari kemerdekaan Malaya jatuh pada tanggal 31 Ogos 1957.
Mengenai ilmu hisab dan falak, beliau mempelajarinya daripada Syeikh Ahmad al-Fathani dan kemudian memahirkannya daripada Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Muhammad/ Syeikh Nik Mat Kecik bin Ismail Daudi al-Fathani, sahabatnya.
Ulama dunia Melayu yang seangkatan dengannya yang mahir dalam ilmu hisab dan falak tidak begitu ramai. Di antaranya yang berasal dari Malaysia ialah: Haji umar, Sungai Keladi Kelantan, Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Qadhi Muar, Johor.
Sementara mereka yang berasal dari Indonesia pula ialah Syeikh Jamil Jambek dan Syeikh Tahir Jalaluddin.
Mereka yang berasal dari Patani ialah Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani.
Ilmu langka, selain ilmu hisab dan falak yang dikuasai oleh ASyeikh Abdullah Fahim, ialah ilmu sastera Arab, yang dinamakan juga ilmu `arudh dan qawafi.
Termasuk juga di dalamnya ialah ilmu isti`arah dan ilmu balaghah. Pengkaderan ilmu yang tersebut juga dimulai dengan kebangkitan Syeikh Ahmad al-Fathani.
Kader dan murid Syeikh Ahmad al-Fathani yang mahir menggubah syair dalam bahasa Arab secara profesional hanya beberapa orang, di antara mereka ialah: Syeikh Abdullah Fahim, Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor.
Karya dan pemikirannya:
Karya-karya hasil tulisan Syeikh Abdullah Fahim yang paling dapat ditonjolkan hanyalah melalui syair-syairnya dalam bahasa Arab, yang ditulis di dalam beberapa buah kitab yang diterbitkan oleh Persama Press Pulau Pinang, terutama sekali di dalam kitab-kitab mengenai ilmu hadis.
Di antaranya dalam kitab al-Hadiqah an-Nadiyah fi al-Hadits an-Nabawiyah yang disusun oleh Abi Abdil Hay Muhammad Isa bin Ibrahim ar-Rawa al-Filfulani (Rabiulakhir 1352 H).
Ada yang mengatakan bahawa Syeikh Abdullah Fahim pernah menyusun sebuah kitab tafsir dan kitab mengenai ilmu falak tetapi tidak sempat diselesaikannya.
Walau bagaimanapun di atas selembar kertas dapat disemak jalan pemikirannya, di antaranya beliau beliau menulis:
``Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang-orang bangsa Melayu se Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma'an. Tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada Mazhab Syafie ... ``
Syeikh Abdullah Fahim menyebut nama kitab-kitab Arab yang dipegang di dalam Mazhab Syafie ialah, ``Ambil mereka itu hukum fikah Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya ... ``
Walaupun ilmu pengetahuan Arabiyahnya luas melaut, namun beliau juga merujuk kitab-kitab bahasa Melayu yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu yang terkenal.
Kitab-kitab yang beliau sebut ialah, ``Dan terjemahannya kepada bahasa Melayu, seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah at-Thullab, Mathla' al-Badrain dan lainnya''
Mengenai pegangan akidahnya, Syeikh Abdullah Fahim menulis, ``Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy'ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah ... ``
Pegangan akidah dalam bahasa Melayu pula beliau sebut, ``Dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu''.
Yang dimaksudkan di sini semua kitab Melayu/Jawi yang membicarakan akidah yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu muktabar.
Beliau pernah belajar dan mengajar kitab berkenaan, di antaranya Faridah al-Faraid oleh guru beliau, Syeikh Ahmad al-Fathani, Aqidah an-Najin juga oleh guru beliau yang bernama Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan ad-Durr ats-Tasamin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan kitab-kitab akidah lainnya.
Mengenai pegangannya di dalam tasawuf, beliau menulis, ``Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya' Ulumid Din ...''
Di dalam tasawuf beliau juga memartabatkan pengkaryaan ulama Melayu. Katanya, ``Dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Siyar as-Salikin''.
Syeikh Abdullah Fahim menegaskan, ``Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya, segala hukum dalamnya kesemuanya mengistinbat daripada al-Quran dan hadis yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-ulama ajilla', diamal dengan dia sudah lebih dari seribu tahun dan terjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.''
Keturunannya:
Di antara anak Syeikh Abdullah Fahim ialah Datuk Haji Ahmad Badawi. Beliau adalah seorang alim yang bertanggungjawab menangani sekolah agama yang didirikan oleh ayahnya.
Di antara anak Datuk Haji Ahmad Badawi pula ialah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang secara rasmi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia pada hari Jumaat, 31 Oktober 2003 Masihi bersamaan 5 Ramadan 1424 Hijrah oleh Yang Dipertuan Agong Malaysia.

Sumber:
https://www.facebook.com/426979547372500/photos/a.428023587268096.94121.426979547372500/870004093070041/?type=1










Isnin, 20 Julai 2015

ADAB PENUNTUT ILMU




ADAB PENUNTUT ILMU
Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki As-Sanusi berkata :
"Junjunglah adab dan akhlak yang terpuji dalam menuntut ilmu kerana manfaatilmu itu bergantung kepada sebesar mana adabmu terhadap ilmu dan guru.
Jangan rasa terhina bila kamu belajar ilmu agama, tetapi sebenarnya ketahuilah ianya amat tinggi di sisi Allah SWT".

ADAB MENUNTUT ILMU
Imam al-Ghazali rahimahullahu ta'ala menitipkan di dalam kitabnya iaitu Ihya' Ulumuddin.
Antara akhlak atau adab menuntut ilmu yang perlu dijaga dan dititikberatkan ialah hendaklah murid yang baru belajar menjaga dirinya daripada belajar ilmu yang diperselisihkan oleh kebanyakan ulama' iaitu permasalahan khilafiyyah.
Ini kerana ia akan menjadikan murid tersebut bingung, hairan dan tidak akan terhasil faedah kepadanya. Bahkan ia akan menyusahkan hati murid kerana tidak tahu untuk berpegang dengan pendapat yang mana.
Justeru, hendaklah murid yang mubtadi' iaitu yang diperingkat asas, mempelajari ilmu yang menenangkan hatinya untuk melakukan sesuatu ibadah.

ADAB MENUNTUT ILMU
[NIAT]
"Jika antum ingin mencari ilmu hanya kerana ingin berdebat dan berbantah-bantahan, maka keluarlah daripada majlis ini. Beristighfarlah. Perbetulkan niatmu. Kemudian masuklah semula jika niatmu sudah murni. Niat yang murni itu sudah cukup untuk membuatkan antum membawa pulang segunung ilmu dan keberkatan".

Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin Al-Maliki As-Sanusi berkata :
"Saya seboleh-bolehnya mengamalkan pendekatan ahli sufi iaitu menganggap orang tua lebih hebat kerana mempunyai banyak ilmu dan amal,
orang muda lebih hebat kerana tidak banyak melakukan dosa berbanding orang yang lebih berusia,
dan orang jahil lebih beruntung kerana mereka melakukan maksiat kerana tidak berilmu berbanding orang yang berilmu tetapi masih melakukan maksiat".

Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki As-Sanusi berkata :
"Kalaulah Al-Quran boleh membimbing kita, kalaulah kitab hadis boleh membimbing kita, maka Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam tidak risau dengan kematian para ulama'. Tetapi sebaliknya, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam telah memberitahu betapa bimbangnya Baginda sallallahu 'alaihi wasallam apabila berlakunya kematian para ulama' kerana ilmu diambil dari ulama'. Bukan dari kitab. Kitab hanya wasilah sahaja".





Guru pesan "budak pondok nak dapat ilmu kena banyak bersabar, tak semesti belajar hari ini boleh faham.
Jika sampai masa Allah akan bukakan pintu kefahaman. Tugas guru hanya mengajar, Allah yang memberi faham"











Pepatah arab ada menyebut ;
العلم في الصدور لا في السطور
"Ilmu itu di dada bukan di lembaran-lembaran kertas"
Hakikat ilmu itu diambil daripada dada para
ulama' bukan hanya melalui buku dan internet.
Inilah tradisi ilmu islam yang tidak diikuti oleh golongan wahabi sehingga membawa mereka ke lembah kesesatan dan kehinaan..
Sabda Nabi SAW riwayat Imam Bukhari ;
إن الله لا يقبض العلم انتزاعا ينتزعه من العباد ولكن يقبض العلم بقبض العلماء حتى إذا لم يبق عالما اتخذ الناس رءوسا جهالا فسئلوا فأفتوا بغير علم فضلوا وأضلوا
"Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu secara menarik dari dada seseorang hamba akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan para ulama' sehingga tiada lagi orang alim (Kemudian) manusia menjadikan orang-orang yang jahil sebagai ketua maka mereka ditanya dan mereka berfatwa tanpa ilmu maka mereka telah sesat dan menyesatkan".
صدق رسول الله صلى الله عليه وسلم
Semoga Allah memilih kita untuk bersama para ulama' dan menjauhi golongan yang biadap terhadap ulama'..



















Huraian Tentang Perkataan Imam Syafi'i: Apabila sahih suatu hadis maka ia adalah mazhabku



Huraian Tentang Perkataan Imam Syafie (اذا صح الحديث فهو مذهبي-"Apabila sahih suatu hadis maka ia adalah mazhabku")

[Tulisan Hafiz Al Hasyiri]

Huraian Tentang Perkataan Imam Syafie 
(اذا صح الحديث فهو مذهبي-"Apabila shahih suatu hadis maka ia adalah mazhabku")

Perkataan Imam Syafie sering kali disalah ertikan oleh Wahabi Sebahagian daripada Wahabi menggunakan perkataan ini bagi :

1) Menyatakan Imam Syafie tidak mahu pengikutnya taksub kepadanya.
2) Menyatakan Imam Syafie menyatakan jika menemui hadis sahih yang bercanggah dengan pendapatnya, maka tinggalkan pendapatnya.
3) Menggunakan perkataan ini bagi mendakwa Imam Syafie juga menggalakkan agar berpegang kepada hadis sahih sahaja bukan kepada mazhabnya.
4) Wahabi juga menggunakan perkataan ini bagi menyokong perjuangan mereka iaitu tidak bermazhab.
5) Wahabi menggunakan perkataan ini dan perkataan seumpamanya yg dtg drp Imam Mazhab utk menggalakan agar meninggalkan mazhab.

¿?¿? Soalan kami, kepada siapakah perkataan ini ditujukan? Pada perhatian kami, ada tiga pendapat mengenai kata-kata ini ditujukan:

1) Imam Nawawi menyatakan dalam Al-Majmu’ :

“ Dari Imam As-Syafie r.h.m, beliau berkata: ‘Apabila kamu (para ulama) mendapati di dalam kitab yang aku tulis menyalahi dengan Sunnah Rasulullah s.a.w, maka berfatwalah kamu semua dengan Sunnah Rasulullah s.a.w dan tinggalkan pendapatku’. Dan diriwayatkan dari Imam Syafie juga: ‘Apabila ada hadis sahih yang maksudnya bertentangan dengan fatwaku, maka beramallah kamu dengan hadis itu dan tinggalkanlah perkataanku”. Atau di lain tempat beliau berkata: ‘Itulah mazhabku’.

- Bagaimanapun Imam An-Nawawi yang merupakan Mujtahid Mazhab atau Mujtahid Fatwa dalam mazhab Syafie telah menjelaskan perkataan Imam Syafie ini, antara lain beliau berkata :

- Dan apa yang dikatakan oleh Imam Syafie ini bukanlah ertinya bahawa kalau seseorang melihat hadis yang sahih, maka terus mengatakan: ‘Inilah mazhab Syafie’, kemudian terus beramal dengan zahir kalam itu semata-mata. Bahkan sebenarnya kalam Imam Syafie tersebut ditujukan kepada para ulama yang telah SAMPAI kepada peringkat ijtihad di dalam mazhab.”

- Di sini dapat kita faham bahawa ucapan Imam Syafie itu BUKANLAH tertuju kepada orang awam, tetapi ditujukan kepada ULAMA yang telah mencapai tahap ijtihad. Ini menunjukkan kepada kita bahwa Imam Syafie tidak pernah menutup pintu ijtihad dan secara tidak lansung beliau telah mengajarkan satu qaedah dalam mengistinbat hukum. Ucapannya ini juga menunjukkan sifat TAWADHUK yang ada dalam diri beliau.

2) Banyak hadis sahih yang telah sampai kepada Imam Syafie atau yang ia mengetahui tetapi ia tidak beramal dengan zahir hadis itu kerana Imam Syafie mengeluarkan hukum daripada hadis yang TERLEBIH RAJIH daripadanya. Terkadang hadis itu MANSUKH (hadis yang dibatalkan hukumnya) atau ada hadis yang lain yang menTAKHSISkan atau Imam Syafie telah menTAKWIL (mengambil makna lain selain daripada makna zahir) hadis itu atau lainnya.

3) Ada setengah ulama menyebut bahawa perkataan ini ditujukan kepada Ashab (anak murid) Imam Syafie iaitu Imam Al-Muzani dan Imam Al-Buwaithi ketika mereka mengemukakan pertanyaan ‘yang mana satu hendak dipegang antara dua perkataan Imam Syafie iaitu Qaul Qadim (pendapat Imam Syafie semasa di Baghdad) dan Qaul Jadid (pendapat Imam Syafie semasa di Mesir’). Maka Imam Syafie memberi jawapan dengan berkata : اذا صح الحديث فهو مذهبي (maksudnya : pendapat yang manakah yang menepati dengan hadis sahih, itulah mazhabku)

~~~> Oleh kerana itu perkataan Imam Syafie tersebut dibahaskan di dalam Muqaddimah Majmu’ Imam Nawawi sebelum beliau masuk kepada tajuk :
“Fasal bagi setiap masalah feqah ada padanya dua pendapat di sisi Imam Syafie iaitu qaul qadim dan qaul jadid”

~~~> Persoalan yang mudah, adakah sama pengertian WaHaBi terhadap kata-kata Imam Syafie sama dengan pengertian di atas?

- Kalau dalam memahami perkataan Imam Syafie sahaja kamu sudah tersilap bagaimanakah kamu hendak memahami Al-Quran dan Hadis secara terus?


Sumber:
https://www.facebook.com/notes/adab-ilmu-original/huraian-tentang-perkataan-imam-syafie-%D8%A7%D8%B0%D8%A7-%D8%B5%D8%AD-%D8%A7%D9%84%D8%AD%D8%AF%D9%8A%D8%AB-%D9%81%D9%87%D9%88-%D9%85%D8%B0%D9%87%D8%A8%D9%8A-apabila-sahih-suat/328383797335423

atau: Klik

Sumber lain : Klik