Isnin, 14 September 2015

Koleksi Kata-Kata Hikmah Daripada Pelbagai Sumber




















































Muhasabah buat penuntut ilmu khususnya yang belajar di universiti. Tanyalah kepada diri, untuk apa aku menuntut ilmu? Jika belajar sekadar untuk mendapatkan pekerjaan dan gaji yang tinggi, ketahuilah kamu telah menghina ilmu. 

Kata sebahagian ulama', jika kamu ikhlas dalam menuntut ilmu, Allah akan berikan kedudukan yang sesuai dengan keikhlasan kamu. Jangan bimbang, Allah telah menjamin setiap rezeki penuntut ilmu, kita hanya perlu menjaga niat.

Sumber: Klik











































------





Isnin, 7 September 2015

TUAN GURU HAJI DAUD BUKIT ABAL




TUAN GURU HAJI DAUD BUKIT ABAL.
Haji Daud Shamsuddin bin Haji Omar al-Libadi atau lebih dikenali sebagai Haji Daud Bukit Abal merupakan syeikh tarekat Ahmadiyah terpenting di rantau ini selepas generasi Mufti Haji Wan Musa/Sidi Muhammad al-Azhari/Syeikh Mohd Said Linggi. Beliau merupakan adik kandung Tuan Guru Haji Mat Limbat/Gong Kemudu.
Haji Daud Shamsuddin bin Haji Omar al-Libadi dilahir di Kg. Kerasak, Limbat, Kota Bharu sekitar 1903. Ibunya, Wan Halimah bt. Hj. Ismail ialah adik kepada Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Haji Ismail (lebih terkenal dengan panggilan Haji Awang Limbat). Manakala bapanya, Haji Omar bin Haji Taib berasal dari Kg. Mentera, Bukit Marak.
Antara guru-guru awalnya, Haji Awang Limbat, Haji Sulaiman Kubang Kachang, Tok Kenali, Tok Seridik, Haji Omar Sungai Keladi, Haji Nik Abdullah Khatib, Yaakub Legor dan Tok Khurasan.
Di kota Makkah pula, antara lain beliau mendalami pengajiannya dengan SyiekOmar Hamdan, Syiek Mohd . Ali al-Maliki , Syeikh Hasan al-Masyat, Syeikh Hasan al-Yamani, Syeikh Muhammad al-Azhari Syeikh Mohd. Shafie kedah(tok Shafie). Kedua-dua penama akhir inilah yang banyak mencurahkan amalan terekat Ahmadiyah (termasuk ilmu Ihsanudin) kepadanya.
Peringkat awalnya kurang mendapat sambutan- mungkin kerana namanya belum terserlah. Hanya selepas 1968 barulah majlis ilmunya mendapat perhatian ramai. Kupasan ilmu usuludin, furu'uddin (fiqh 4 mazhab) dan ihsanuddin yang menjurus kepada pengamalan zikir terekat kemudiannya terbukti sangat popular. Untuk kemudahan murid-muridnya beliau mengulang cetak karyanya sendiri, iaitu Risalat al-Aqaid wa al-Fawaid (cetakan pertama 1965), dan pada awal 1970-an diedarkan pula stensilan Risalat al-Tasawuf yang sempat disusun setakat 8 siri sahaja kerana masalah kesihatannya.
Tuan Guru Haji Daud meninggal dunia di Bukit Abal ketika pondoknya sedang berkembang maju, iaitu pada pukul 2 petang Ahad 1 Safar 1396 bersamaan 1 Februari 1976.
Warisan ilmunya kini desebarkan pula oleh tokoh-tokoh seperti tuan Guru haji Ghazali Tunjong, Pak Da Awang Kampung Pek, Ustaz Mustafa Muhammad al-Ahmadi (pengarang buku Mengenal Diri dan Wali Allah yang sangat popular itu), Ustaz Wan Hasan Bukit Tanah (ahli Jemaah Ulama MAIK), Drs Abdul Rahman haji Ahmad (Timbalan Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Negeri Kelantan) dan Prof Dr. hamdan Hassan (Universiti Brunei Darussalam)



Ahad, 26 Julai 2015

Tuan Guru Haji Abdul Majid Bin Hj Abdul Karim








Tuan Guru Haji Abdul Majid Bin Hj Abdul Karim. Al-marhum seorang yang sangat warak sehinggakan tidak dijumpai gambar-gambarnya kecualilah yang ada pada kad pengenalannya. Al-marhum mula belajar agama dengan Tuan Haji Muhamad Haji Mustaffa, Kuala Jempol selama 3 tahun ( 1923 – 1925). Kecerdasan dan kebolehannya ketika menuntut diakui sendiri oleh Tuan Gurunya.
.
Selepas menuntut dengan Haji Muhamad Mustaffa, beliau memondok pula di Sik, Kedah selama 4 tahun ( 1925 – 1928). Dijangkakan beliau memondok ke sini atas seranan Tuan Haji Muhamad sendiri kerana berdasarkan kisahnya, Haji Muhamad pernah belajar ke Sik. Apabila ada peluang ke Mekah, Tuan Guru Haji Abdul Majid mengambil kesempatan mengikuti kuliah-kuliah di Masjidil Haram yang disampaikan oleh ulama terkemuka Mekah ketika itu. Sebagaimana yang kita sedia maklumi, awal abad ke 20an itu ramai penuntut-penuntut dan ulama tanah Jawi berkampung di sana. Beliau mengasaskan Pusat Pengajian Tinggi Darul Ulum Makkah Al Mukarramah bersama-sama rakan-rakannya. Tuan Guru Haji Abdul Majid akhirnya berjaya mendapat Syahadah Al Aliah Tinggi dari Institusi ini. Antara guru-guru beliau ialah Sheikh Hassan Masyhat, Sheikh Zaharuddin, Sheikh Muhsin dan lain-lain lagi.
Beliau tidak berminat untuk berkerja dengan mana-mana pihak kerana lebih cenderung untuk berdikari dalam mengembangkan syiar Islam secara lebih berkesan. Walau bagaimanapun, beliau diminta oleh Tuanku Abdul Rahman untuk mengajar agama di Istana setiap minggu. Pernah Allahyarham menganggotai Jawatankuasa Syariah dan Majlis Fatwa negeri setelah dipujuk oleh Sheikh Haji Ahmad Mufti kerajaan ketika itu. Dikatakan beliau hanya berkhidmat untuk beberapa tahun sahaja kerana tidak mahu terlibat dengan fatwa-fatwa yang yang dianggapnya tidak menepati pegangannya. Misalnya, beliau tidak setuju bertaqlid kepada satu-satu mazhab untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Dia lebih cenderung untuk berpegang kepada Mazhab As Syafieah sahaja untuk mengelakkan berlaku perpecahan di kalangan masyarakat negeri ini. Allahyarham sangat kuat beribadah dan doa-doa beliau selalu dimakbulkan Allah SWT.
Semoga Allah merahmatinya dan dihimpankan bersama orang-orang yang soleh.















Dato' Haji Mustaffa Haji Ahmad





Dato' Haji Mustaffa Haji Ahmad yang memulakan pengajiannya di pondok Tuan Haji Muhamad di Jempol pada tahun 1935-1936.Beliau melanjutkan pengajian agamanya di Darul Ullum Mekah pada tahun 1937-1944.Beliau berkelulusan Syahadat Nahiyah Minnal Qasmi Al'Ala iaitu sijil tertinggi dari Darul Ullum Mekah sambil mengaji sambilan di dalam Masjidil Haram dan di tempat-tempat kumpulan tertentu di Mekah pada tahun 1937-1946.
Guru-Gurunya.
Selain dari guru-gurunya di Darul Ullum Mekah, beliau mendapat pendidikan daripada ramai guru-guru agama yang lain. Di Antara guru-gurunya ialah:
1) Tuan Haji Ahmad Bilal - Padang Lalang Jempol.
2) Tuan Lebai Abd. Kahar-Padang Lalang Jempol.
3) Tuan Lebai Hashim Abd. Rahman-Padang Lebar Jempol.
4) Tuan Haji Muhammad - Jempol.
5) Tuan Syeikh Abdul Karim Mandili - Mekah.
6) Tuan Ismail Fathani-Mekah
7) Tuan Syeikh Syed Amin Qutbi-Mekah.
8) Tuan Syeikh Syed 'Alwi 'Abbas Maliki -Mekah.
9) Tuan Syeikh Syed Hussin Abdulghani Pelembang-Mekah.
10) Tuan Syeikh Syed Ahid Idris Bogor-Mekah.
11) Tuan Syeikh Syed Muhammad Ali Maliki-Mekah.
12) Tuan Syeikh Syed Abdul Qadir Mandili-Mekah.
13) Tuan Syeikh Syed Haji Abdullah Haji Sijang-Bekas Qadhi Port Dickson dan lain-lain.
Semoga Allah merahmatinya.










Khamis, 23 Julai 2015

Syaikh 'Abdul Lathif Tambi Al-Malakawi (Ulama' Melaka)





(Tokoh Ulama Melaka)
Syeikh Abdul Lathif Tambi Al-Malakawi 

Salah seorang ulama besar Melaka yang pernah menjadi kader Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tokoh ulama Melayu di Makkah ialah Syeikh Abdul Lathif Tambi. Syeikh Abdul Latif bukan sahaja mengikuti jejak langkah gurunya itu dalam bidang penulisan tetapi juga turut aktif dalam bidang percetakan dan penerbitan kitab-kitab. Tokoh ulama yang berasa dari Melaka ini dilahirkan di Kampung Teluk Mas, Melaka pada tahun 1872 Masehi bersamaan dengan 1288 Hijriyyah. Nama lengkapnya ialah Haji Abdul Lathif bin Haji Muhammad Nuruddin (Haji Tambi) bin Muhammad Shalih al-Malakawi at-Tankirawi. Gelarannya ialah Bahauddin.

Gelaran ini diberikan oleh seorang ulama besar Melaka yang hidup sezaman dengan beliau iaitu Syeikh Ahmad bin Abdur Rauf. Asal-usul nenek moyangnya dikatakan berasal dari India. Walaupun dilahirkan di Melaka, usia kecilnya banyak dihabiskan di Singapura. Keluarganya sangat memberi perhatian kepada pendidikan agama.

Lantaran itu, ketika beliau berusia 8 tahun, beliau sudah dihantar oleh ayahandanya ke Makkah untuk menimba ilmu di sana. Beliau menadah kitab kepada ulama-ulama besar di Makkah selama 20 tahun. Di antara ulama-ulama dunia Melayu yang menjadi guru-gurunya di Makkah ialah seperti Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Shabir Mandailing dan Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau.

Diriwayatkan bahawa beliau turut terlibat membantu gerakan Jam’iyatul Fathaniyah yang dicetuskan oleh gurunya iaitu Syeikh Ahmad al-Fatthani yang kemudiannya mendapat tempat di Makkah, Mesir, dan Turki. Beliau turun semula ke Alam Melayu pada tahun 1900. Di Singapura, beliau mula mengajar ilmu agama di ruang kecil di kedai kain milik ayahnya dan juga di kediamannya. Dikatakan bahawa selain mengajar, beliau turut mengusahakan perniagaan kain seperti ayahandanya. Dalam kesibukannya mengajar dan berniaga, beliau tidak lupa untuk turun berdakwah.

Beliau dikatakan pernah turun berdakwah hingga ke Pulau Pinang, Medan, Surabaya dan Bandung. Menyedari bahawa percetakan kitab sangat penting pada waktu itu untuk tujuan penyebaran ilmu maka beliau telah menubuhkan dua syarikat percetakan iaitu satu di Singapura dan satu lagi di Melaka. Syarikat percetakan di Singapura dikenali dengan nama Lathifiyah Press, 768 yang terletak di North Bird Road, Singapura manakala syarikat percetakan di Melaka dikenali dengan nama Mathba’ah Al-Lathifiyah Al-Malakawiyah yang beroperasi di Terengkera, Melaka. Beliau turut menjalinkan hubungan perniagaan dengan ramai peniaga di Singapura, Melaka, Pulau Pinang, Medan, Tanjung Pinang (Kepulauan Riau), Surabaya dan Bandung.

Diriwayatkan bahawa beliau gemar memakai tarbus dan merupakan seorang yang sangat dermawan. Kupasan yang menarik dan berkesan menyebabkan kuliah pengajarannnya sentiasa sahaja penuh dengan para penuntut ilmu. Ramai anak muridnya menjadi tokoh masyarakat antaranya seperti Ustaz Hasyim Yunus yang pernah menjadi pengarang Warta Malaya, Haji Junaid bin Imam Haji Ibrahim, Ustaz Muhammad bin Muhammad Sa’id dan ramai lagi. Syeikh Abdul Lathif Tambi termasuk dalam kelompok ulama Kaum Tua yang berpegang teguh mengikut Mazhab Syafi’i dan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Perkara ini telah diyatakan olehnya di muka hadapan kitab yang dikarangnya sendiri iaitu Hidayatur Rahman seperti berikut,

“Dinamakan dia Hidayatur Rahman pada menyatakan segala arkanul iman karangan al-Imam al-Fadhil al-Haj Abdul Lathif bin al-Haj Tambi negeri Melaka kejadiannya, Kampung Tengkera kediamannya, Syafi’i mazhabnya, Asy’ari aqidahnya. Dihapuskan kiranya oleh Allah Ta’ala segala kesalahannya dengan kemegahan Nabi Muhammad saw”.

Kajian yang dibuat oleh Md Sidin mendapati bahawa Syeikh Abdul Lathif Tambi ada mengarang kira-kira enam buah kitab. Kitab-kitab tersebut adalah seperti berikut,

1. Syair Bandung – Kitab syair ini diriwayatkan telah dikeluarkan oleh al-Ikhwan Press pada tahun 1917.

2. Hidayatur Rahman – Kitab ini diselesaikan penulisannya pada hari Isnin, 15 Jamadilawal 1318 H/1900 M. Kandungannya membicarakan tentang akidah menurut Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah. Kitab ini dicetak buat kali ketiga oleh syarikat miliknya sendiri iaitu Mathba’ah al-Lathifiyah al-Malakawiyah, Melaka pada akhir Syawal 1348 H.

3. Tazkiratus Sunnatil Basyar bi Ahkami Itsna `Asyar (Rangkapan) – Kitab ini diselesaikan penulisannya pada malam Sabtu, 13 Rabiulakhir 1343 H/1924 M. Kitab ini pernah dicetak oleh Mathba`ah Al-Ahmadiah yang beroperasi di 50 Minto Road, Singapura, 25 Jamadilakhir 1344 H.

Kandungan membicarakan beberapa masalah dan berbagai-bagai disiplin ilmu Islam terutama sekali beberapa pertikaian pendapat atau khilafiyah dalam Islam. Pada setiap perbahasan di beberapa tempat disebut kitab-kitab rujukan dalam bahasa Arab dan demikian juga kitab-kitab Melayu/Jawi lengkap dengan tahun cetakan dan halaman permasalahan yang dipetik.

Antara kitab yang dirujuk ialah Bidayatul Hidayah (dikarang oleh Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Acheh cetakan tahun 1333 H) dan Ad-Durruts Tsamin (dikarang oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani cetakan tahun 1338 H) mengenai perbahasan akidah; Mathla’ul Badrain (dikarang oleh Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani) dan Furu`ul Masail jilid kedua (dikarang oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani cetakan tahun 1307 H) mengenai perbahasan fikah; dan Sairus Salikin jilid ketiga (dikarang oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani cetakan tahun 1309 Hijrah) dan Hidayatus Salikin (dikarang oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani cetakan tahun 1340 Hijrah) mengenai perbahasan tasawuf.
4. Risalah Buat Sementara Yang Sebenarnya Kelak Ketara – Kitab ini diselesaikan penulisannya pada hari Jumaat, 23 Jamadilawal 1354 H/26 Ogos 1935 M).

Ia dicetak oleh Lathifiyah Press, Singapura, tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan perkara khilafiyah dan merupakan lanjutan atau memperkukuh sebuah karya yang ditulis oleh al-Alim al-‘Allamah Syeikh Abdul Muhaimin bin Abdul Aziz al-Lasami (Lasem).

5. Dalailul Khairat – Menurut Almarhum Tuan Guru Haji Wan Mohd Saghir Abdullah, kandungannya belum diketahui namun judulnya diperolehi melalui iklan Al-Ahmadiah Press pada halaman belakang risalah Ibu Di Dalam Rumahnya yang dikarang oleh Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan Riau, cetakan tahun 1926 M.

6. Qiblah Dalail al-Hairan fi Jawazi Hadmi Masjid as-Sulthan – Judul ini diketahui melalui karya beliau berjudul Tazkiratus Sunnatil Basyar bi Ahkami Itsna `Asyar (Rangkapan). Judul ini ditulis barangkali ada kaitan dengan peristiwa perombakan Masjid Sultan Singapura seperti yang diungkapkan dalam majalah Qalam pada ketika itu.

Ulama yang hartawan lagi dermawan ini menghembuskan nafas terakhir pada hari Jumaat pukul 2.30 tengah malam, 17 Rejab 1358 H/1 September 1939 M dalam usia 67 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Perkuburan Tengkera, Melaka.

Rujukan utama
1. Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Syeikh Abdul Lathif Tambi Ulama gigih, dermawan. Ruangan Bicara Agama. Utusan Malaysia. Terbit pada 1 Mac 2004

2. Md. Sidin Ahmad Ishak. 1998. Penerbitan dan Percetakan Buku Melayu 1807-1960. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur


Sumber:
https://www.facebook.com/426979547372500/photos/a.428023587268096.94121.426979547372500/869781856425598/?type=1