Rabu, 15 Oktober 2014

Kenali Para Ulama'






Gambar: Al Alim Al Allamah Al Muhaddist As-sayyid Alawi bin Abbas Al Maliki Al Idrisi Al Hasani,Al Alim Al Allamah As-Sayyid As-Syaikh Muhammad Amin Al Hasani, Al Imam Al Allamah Al Muhaddist Prof Dr As-Sayyid MUhammad bin Alawi Al Maliki Al Idrisi Al Hasani


















Sebahagian wajah-wajah ulama' amilin ahlus sunnah wal jamaah Tanah Melayu.











Ahli Majlis Ulama' Kelantan Tahun 1964M


Tuan Guru Haji Muhammad Salleh bin Haji Hashim




Tuan Guru Haji Muhammad Salleh bin Haji Hashim – Menerajui Kegemilangan Pondok Pulau Pisang, Tunjang, Jitra, Kedah Darulaman

Ulama Kedah ini dilahirkan di Kampung Pulau Pisang, Mukim Tunjang, Jitra, Kedah Darulaman pada tahun 1280H/1864M. Nama lengkap beliau adalah Muhammad Salleh bin ‘Abdul Hamid bin Ishaq al-Fathani. Manakala dari sebelah ibu pula ialah Fatimah binti Ishaq bin Muhammad Hasyim bin Abdul Baqi. Datuk sebelah ibunya, iaitu Tuan Guru Haji Ishaq bin Haji Muhammad Hasyim bin Haji Abdul Baqi (lahir pada tahun 1184H/1771M di Kampung Padang Panjang, Kota Sena, Malau, Jitra dan meninggal dunia pada 1287H/1871M. Keturunan mereka berasal dari Fathani kerana Haji ‘Abdul Baqi adalah merupakan seorang ulama dan pembesar dari Kampung Cerang, Fathani)adalah merupakan pengasas kepada Pondok Pulau Pisang di zaman Tengku Anum memerintah Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam. Tuan Guru Haji Ishaq bin Haji Muhammad Hasyim bin Haji Abdul Baqi adalah murid Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syaikh Abdus Shamad al-Falimbani. Tuan Guru Haji Ishaq juga pernah menjawat sebagai Qadhi Besar Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam.

Pendidikan:

Mendapat pendidikan awal daripada datuknya, yang juga merupakan pengasas Pondok Pulau Pisang. Walaupun Muhammad Salleh telah `alim sejak di Pondok Pulau Pisang lagi kerana beliau sempat mempelajari kitab-kitab besar daripada datuknya, Tuan Guru Haji Ishaq, ulama besar Kedah, murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Namun sudah menjadi tradisi pada zaman itu untuk mengesahkan seseorang itu diakui keilmuannya, hendaklah belajar lagi kepada ulama-ulama besar yang berada di Mekah dan Madinah. Maka untuk itu beliau dihantar ke Mekah untuk menyambung pengajian iaitu antara tahun 1295H/1879M hingga tahun 1312H/1894M. Ulama yang paling banyak Muhammad Salleh menimba ilmu daripdanya adalah Syaikh `Abdul Qadir bin `Abdur Rahman al-Fathani, cucu saudara dan juga Khalifah Syaikh Daud bin `Abdullah al-Fathani. Pengetahuan yang bercorak pengkaderan dan pelbagai bidang duniawi dan ukhrawi pula beliau adalah diasuh oleh Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Selain itu beliau juga belajar daripada ulama Arab yang mengajar di sekitar Mekah pada ketika itu.

Menerajui Pondok Pulau Pisang:

Setelah beliau kembali dari Mekah pada tahun 1312H/1894M, Haji Muhammad Salleh langsung menerajui Pondok Pulau Pisang yang diasaskan oleh datuknya itu. Pondok Pulau Pisang adalah merupakan satu-satunya pondok yang utama dan termaju di negeri Kedah, namun setelah meninggalnya Tuan Guru Haji Ishaq pada tahun 1287H/1871M, ianya mula merosot. Namun setelah ianya diterajui oleh Haji Muhammad Salleh, pondok ini berkembang dan mengalami kemajuan yang pesat, kembali memancarkan nur ilmu pengetahuan dan menjulang kecemerlangan kewibawaan. Ketika mula menerajui pondok ini, Haji Muhammad Salleh berusia 30 tahun. Diriwayatkan bahawa Pondok Pulau Pisang dalam masa pimpinan Haji Muhammad Salleh bin Haji Hasyim pelajarnya pernah mencapai 2,000 orang. Jumlah pelajar pondok ribuan orang yang datang dari seluruh Tanah Melayu termasuk Indonesia pada zaman itu merupakan satu jumlah yang besar dan luar biasa, yang tidak terjangkau oleh pengajian pondok lainnya, kecuali pada zaman yang sama di Fathani dan Jawa, malah ada yang lebih ramai daripadanya.

Kitab-kitab yang diajarnya: Diantara kitab-kitab turats Islam, bahasa Melayu yang diajarkan di Pondok Pulau Pisang ialah

Faridatul Faraid karangan Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (aqidah)
Bidayatul Hidayah oleh Syaikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh (aqidah)
Ad-Durruts Tsamin oleh Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani (aqidah)
Hidayatus Salikin oleh Syaikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani (tasawuf)
Siyarus Salikin oleh Syaikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani (tasawuf)
Ad-Durrun Nafis oleh Syaikh Muhammad Nafis al-Banjari (tasawuf)
Turjumanul Mustafid (Tafsir Baidhawi Melayu) oleh Syaikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri. (Tafsir)

Manakala kitab-kitab turats berbahasa ‘Arab pula, antaranya

Fathul Mu'in (fiqh)
I'anatut Thalibin (fiqh)
Baijuri (fiqh)
Dasuqi (aqidah)
Kifayatul Awwam (aqidah)
Shahih al-Bukhari. Jawahir al-Bukhari dan kitab-kitab hadits lain (hadits)
Tafsir Jalalain dan Baidhawi (Tafsir)
Minhajul `Abidin (Tasawuf)
Ihya' `Ulumid Din (Tasawuf)
Matnur Risalatil Fathaniyah dan Tashilu Nailil Amani oleh Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (nahwu)
Kitab-kitab yang dikarang oleh Syaikh Nawawi Banten
Dan lain-lain lagi

Murid-murid beliau: Diantara murid-murid beliau adalah

Syaikh Ismail bin Haji Muhammad Salleh (anak beliau sendiri)
Syaikh Ramli bin Haji Muhammad Salleh (anak beliau sendiri)
Dr Burhanuddin al-Helmi
Tuan Guru Haji Ahmad Janggut, Langgar
Tuan Guru Haji Ahmad Hutan Palas atau dikenali juga Tuan Guru Haji Ahmad Keplu (alhamdulilah, al-Faqir abu zahrah sempat beberapa kali menemui dan mengambil ilmu dari beliau. Dari beliaulah abu zahrah terima Ratib Haddad, iaitu ketika masih di sekolah rendah.)
Tuan Guru Haji Abbas Nasution, Tanjung Pauh (beliau juga pernah abu zahrah temui beberapa kali, namun ketika itu tidak mengenali siapa beliau. Cuma abu zahrah kenalinya sebagai seorang yang baik hati. Beliau pernah menunjukkan al-Quran tulisan tangannya kepada abu zahrah. Pun tak faham lagiii … kerna dikala itu masih di primary school.)
Haji Abdullah Hassan dan ramai lagi.

Penulisan:

Sungguhpun sibuk mengajar di pondok dan memenuhi hajat masyrakat setempat, Tuan Guru Haji Salleh masih dapat meluangkan masanya untuk mengarang. Kitab-kitab karangan beliau:

Sirajul Huda wa Mishbahud Duja. Pertama kali dicetak oleh Mathba'ah Muhammad `Ali Shabih dekat Al-Azhar, Mesir tahun 1344H. Selain Sirajul Huda, karya beliau yang lain pula ialah
Tanbihul `Awam li Istiqazil Manam, juga dicetak di Mesir tahun 1950
An-Nashihatuddin az-Zakiyah

Karangan beliau yang lain tidak dapat dikesan kerana musnah di dalam kebakaran pada tahun 1962. Pondok Pulau Pisang mengalami 2 kali kebakaran. Kebakaran sebelumnya memusnahkan kitab-kitab karangan Tuan Guru Haji Ishaq.

Selain dari belajar, para pelajar pondok di Pondok Pulau Pisang juga mengamalkan ratib al-Haddad, di mana ianya dibaca secara beramai-ramai pada sebelah malam.

Keturunan: Hasil dari perkahwinannya dengan isteri yang bernama Saerah binti Abbas beliau dikurniakan 4 orang cahaya mata iaitu:

Hajah Jamilah
Syaikh Ismail. Pernah dilantik menjadi Qadhi Besar Kedah dari tahun 1356H – 1358H dan kemudian dilantik menjadi pengerusi Majmak Ulama Syaikhul Islam Negeri Kedah dari 1358H – Syawwal 1364H. InsyaAllah, abuzahrah akan menulis mengenai ulama ini.
Haji Qasim dan
Syaikh Ramli.

Pemimpin masyarakat:
Tuan Guru Haji Muhammad Salleh bukanlah hanya sekadar Tuan Guru di pondok, namun beliau juga adalah merupakan seorang pemimpin masyarakat yang berwibawa. Beliau berjasa di dalam menyediakan sebuah jalanraya sejauh 2km yang menghubungkan Kampung Pulau Pisang dan Pekan Tunjang yang dibinanya secara gotong-royong; mengemaskini pentadbiran Masjid Ishaqiah di Kampung Pulau Pisang dan mengasaskan moreh berbuka puasa di masjid tersebut; menyelesaikan masalah-masalah masyarakat setempat.

Kewafatannya: Setelah lebih dari 50 tahun berbakti di dalam memimpin Pondok Pulau Pisang, Haji Muhammad Salleh meninggalkan dunia yang fana ini pada tahun 1363H/1944M. al-Faathihah.

******

Sekian dan salam hormat dari
Al-Haqir Abu Zahrah ‘Abdullah Thahir al-Qedahi
Catatan ini disempurnakan pada hari Itsnin, 19 Rabiul Awwal 1430/ 16 Mac 2009, ketika bercuti di kampungku di Jitra, Kedah Darulaman.

Rujukan:

Tulisan Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir bin Wan ‘Abdullah di Utusana Malaysia bertarikh 31 Mei 2004
Biografi Ulama Kedah Darul Aman, terbitan Lembaga Muzium Negeri Kedah Darulaman




Sumber dari Facebook:
Jom Kenali Ulama Kita dan Karya Mereka






Tuan Guru Haji Yahya bin Muhamad Thaha





Tuan Guru Haji Yahya bin Muhamad Thaha, Kupang, Baling, Kedah Darulaman – Pengasas Madrasah Khairiyyah Merupakan Tuan Guru Yg di Geruni Komunis

Tuan Guru Haji Yahya bin Muhamad Thaha, Kupang, Baling, Kedah Darulaman – Pengasas Madrasah Khairiyyah (kini di kenali sebagai Yayasan Khairiyyah), Tuan Guru Yang di Geruni Komunis.

Kelahiran:

Tuan Guru Haji Yahya bin Muhamad Thaha bin Idris (Mat Aris) di lahirkan di Kampung Pisang, Kupang, Baling Kedah, Darulaman pada tahun 1906M. Datuk beliau, Idris berasal dari Fathani.

Ibunya adalah Hajjah Hajar binti Haji ‘Abdullah bin Tok Samad, Kampung Pisang, Kupang. Keluarga sebelah ibunya juga berasal dari Fathani dimana sewaktu awal kedatangan mereka ke Kedah, mereka menumpang di rumah Tok Basyir [1] dan di rumah Tok Mat Din. Kedua-duanya muhajir dari Fathani yang berpindah ke Kedah.

Pendidikan:

Tuan Guru Haji Yahya mendapat pendidikan awal membaca al-Quran dirumah saudara seibunya, Awang Besar bin Saman (beliau adalah ayah kepada Tuan Guru Haji Yahya @ Ilyas. Belajar di Mekah selama selama 16 tahun dan terkenal ‘alim di dalam ilmu fiqah dan faraidh). Kemudian berguru dengan Tuan Guru Haji Ahmad bin Awang Besar bin Tok Mat Din [2], Kampung Jerai. Kemudian beliau memasuki sekolah Melayu Sik sehingga darjah 3 (darjah tertinggi ketika itu). Sewaktu di Sik beliau tinggal di pondok Tuan Guru Haji Ya’kub ‘Abdurrahman [3], Kampung Kemelung, Sik. Di pondok inilah Haji Yahya menadah kitab dibawah asuhan Tuan Guru Haji Ya’kub ‘Abdurrahman. Setelah 6 tahun memondok, beliau belayar bersama ibu dan saudaranya Awang Besar ke Mekah iaitu pada tahun 1923M. Beliau bermukim di Mekah selama 12 tahun.

Antara guru-guru beliau di Mekah:

Pak Cik Daud (Tuan Guru Haji Wan Daud bin Wan Musthafa al-Fathani). Ayah saudara kepada Pak Da El, Pak Chu Him dan Syaikh Wan Ahmad al-Fathani.
Tuan Guru Haji Yahya Raman al-Fathani (Cher Pak Ya al-Ramani) – menantu Tok Yaman al-Fathani
Syaikh Nur bin Syaikh Nik Mat Kecik (Syaikh Nur Raman)
Syaikh wan Ismail bin Wan ‘Abdul Qadir al-Fathani atau Pak Da ‘El
Syaikh Mukhtar ‘Atarid Bogor
Syaikh Ahmad Ahyad Idris Bogor (menantu Syaikd Mukhtar ‘Atarid)
Syaikh ‘Ali Maliki (ketua ulama fiqh 4 mazhab)
Sayyid ‘Alawi bin Sayyid Abbas al-Maliki al-Hasani
Syaikh Muhammad ‘Arabi

Teman sepengajiannya pula:

Tuan Guru Dato’ Haji ‘Abdurrahman Haji Abdullah, Merbok, Kedah
Tuan Guru Dato’ Haji Hussin Haji Sholeh, Lorong Makam, Langgar, Kedah
Tuan Guru Haji Awang Embun Haji Umar, Kampung Sadik, Kupang
Mufti Haji Muhammad Nor Ibrahim, Kelantan
Tuan Guru Haji Daud Said, Getting, Tumpat, Kelantan
Tuan Guru Haji ‘Abdurrahman Arsyad, Dala, Fathani (Tok Dala)
Tuan Guru Haji ‘Abdullah Haji Wan Musa, Kubang Pasu Kota Bahru, Kelantan
Syaikh ‘Abdul ‘Aziz Haji Ahmad Awang Besar, Kupang (Qadhi Besar Kedah)
Syaikh Muhammad Yasin bin Muhammad ‘Isa al-Fadani

Membuka pondok:

Setelah 12 tahun dibawah lindungan Ka’bah, maka pada tahun 1936, Tuan Guru Haji Yahya kembali ke Tanah Melayu. Pada mulanya beliau mengajar dirumahnya pada sebelah malam dan pagi Jum’at. Memandangkan sambutan masyarakat yang meggalakkan, penduduk setempat mengambil inisiatif untuk mengadakan madrasah khas untuk beliau mengajar. Madrasah ini kemudian berkembang menjadi Pondok Kampung Pisang. Pondok ini terus berkembang sehingga pecah Perang Dunia ke-II. Dengan kedatangan Jepun madrasah ini terhenti buat seketika, namun pada pertengahan tahun 1943 ianya disambung semula. Bilangan pelajar bertambah sehingga terdapat kira-kira 500 buah pondok didirikan.

Sebelum tahun 1951, Madrasah Khairiyah ini menumpukan pengajian secara umumi tetapi setelah dipersetujui oleh Tuan Guru Haji Yahya, pengajian secara nizami di selah siang hari diperkenalkan dan digabungkan dengan pengajian secara umumi di sebelah malam harinya. Antara yang menjadi tenaga pengajar adalah Tuan Guru Haji Hasan Rasyid al-Makki (selaku Mudir),Dato’ Haji Zakaria Haji Ahmad Wan Besar, Haji Sulaiman Ibrahim Fahmi, Haji Badaruddin dan Haji ‘Abdurrahman Haji ‘Abdul Majid. Madrasah al-Khairiyah ditukarkan kepada nama Yayasan Khairiyah pada tahun 1971 ketika Ustaz Zawawi Haji ahmad Che Pi menjadi mudirnya.

Murid-muridnya: Antara murid-murid beliau:-

Tuan Guru Haji Umar Zuhdi Haji Sholeh, Pondok Banggol Berangan, Lanai, Baling
Tuan Guru Haji Awang Embun Haji Umar, Kampung Sadik, Kupang
Ustaz Haji ‘Abdullah Awang Besar
Ustaz Haji Yusuf Ismail, Baling (bekas ahli Majlis Fatwa Tabung Haji). - Beliau adalah khadam kepada Tuan Guru Haji Yahya
Tuan Guru Haji Muhammad Yusuf, Batu 4, Jalan Yala, Betung
Tuan Haji Syahabuddin, bekas imam Masjid Baling
Ustaz Haji Sulaiman Ibrahim Fahmi, Mudir Yayasan Khairiyah
Ustaz Haji Yahya Awang Besar – anak saudara beliau dan merupakan Imam Masjid Kampung Tanjung, Kupang
Dato Haji Daud Che Ngah, bekas Pengurus Besar Bimbingan Haji, Lembaga Tabung Haji
Syaikh Haji Hasan Rasyid, Mudir Yayasan Khairiyah yang pertama
Tuan Guru Haji Wan Embun, Ijok, Perak
Ustaz Zawawi Haji Ahmad, bekas ADUN Kedah
Ustaz Haji Ismail Haji ‘Ali, Jempol, Negeri Sembilan. Tokoh Ma’al Hijrah Negeri Sembilan 1998.
Syaikh Ahmad Zahari, Mekah

Karangan:

Tiada maklumat yang menunjukkan Tuan Guru Haji Yahya meninggalkan sebarang karangan berupa tulisan. Yang pasti beliau meninggalkan kitab yang bergerak iaitu murid-murid beliau.

Kemasyarakatan:

Sewaktu pemberontakan komunis - zaman darurat, iaitu itu setelah kekalahan tentera Jepun dan Inggeris kembali bertapak, berlaku bermacam keganasan, kekejaman terhadap rakyat oleh Kumpulan Bintang Tiga – Komunis. Pada ketika inilah Tuan Guru Haji Yahya dan murid-murinya memainkan peranan paling berjasa sampai dikenang sehingga kini oleh masyarakat Kupang, Baling iaitu menghalau komunis dari mengganggu masyarakat kampung.

Pada ketika pemberontakan komunis, Sekolah Melayu Kupang menjadi markas Bintang Tiga (Komunis) menjalankan aktiviti mereka mengganggu penduduk kampung. Tuan Guru Haji Yahya serta rakannya Pak Su Haji Ahmad telah mengetuai perarakan menghalau komunis tersebut dengan laungan kuat takbir (الله اكبر) dan tahlil (لاإله إلا الله) dan berhenti di Masjid Kupang yang bertentangan dengan markaz komunis. Di Masjid ini mereka bertakbir dan bertahlil dengan kuat sehingga menggerunkan pihak komunis dan akhirnya mereka melarikan diri. Dan keadaan kampung kembali tenang.

Kegiatan menghalau komunis ini bukan sahaja berlaku di Baling, tetapi Tuan Guru Haji Yahya juga dijemput untuk menghalau komunis di Kroh, Grik dan Batu Kurau, Perak. Inilah yang yang menjadi kelebihan pada diri Tuan Guru Haji Yahya. Sehinggakan masyarakat Cina tempatan pada awalnya tidak mempercayai Tuan Guru Haji Yahya sudah meninggal kerana mereka mendakwa masih melihat beliau dimana-mana. Dan memang tidak dinafikan bahwa Tuan Guru Haji Yahya ini dikurniakan karamah iaitu antaranya digeruni musuh. Perkara seumpama ini juga berlakau kepada tokoh-tokoh ulama yang lain seperti Tuan Guru Haji Wan ‘Abdus Shamad Pokok Sena dan Tuan Guru Haji Hussin Che Dol di dalam perisitwa Bukit Jenun.

Politik: Tuan Guru Haji Yahya juga bergiat di dalam politik iaitu di dalam Parti Islam Semalaysia (PAS). Madrasahnya, Madrasah Khairiyah pernah menjadi tapak bagi penubuhan Dewan Ulama PAS Negeri Kedah dan beliau sendiri telah terpilih sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Kedah yang Pertama pada tahun 1953.

Keturunan:

Tuan Guru Haji Yahya mula mendirikan rumahtangga pada tahun 1936 ketika menuntut di Mekah dengan Hajjah Wan ‘Aisyah binti Haji Mat , Kupang tetapi bercerai kemudiannya, tanpa meperolehi zuriat. Kemudian bernikah pula dengan ‘Aisyah binti Haji Awang Kechik, Kampung Pisang. Melalui perkahwinannya ini beliau dikurniakan 10 orang zurat. Seterusnya berpoligami, dengan menikahi Fathimah binti Haji Muhammad Zain, dan mendapat seorang anak. Setelah kematian Fathimah, Tuan Guru Haji Yahya mengahwini Hajjah Khadijah bin Haji Muhammad Zain, iaitu saudara kepada Fathimah (bersalin tikar) dan memperolehi 10 orang cahayamata. Melalui pernikahan Tuan Guru Haji Yahya dengan Hajjah Maimunah @ Munah bin Haji Muhammad Yasin [4], dan mendapat 6 orang cahayamata. Dan isteri Tuan Guru Haji Yahya yang terakhir adalah Hajjah Khadijah binti Jusuh dari Kelantan, dan mendapat seorang cahayamata. Jumlah anak Tuan Guru Haji Yahya kesemuanya adalah 28 orang.

Kewafatan:

Tuan Guru Haji Yahya bin Muhammad Thaha menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 2 petang, Khamis 1959 dirumah isterinya Hajjah Maimunah. Jenazah beliau beliau di semadikan di tanah perkuburan Masjid al-Huda, Kampung Hangus, jam 11 pagi Jum’at. Al-Faatihah.

Sekian dan salam hormat dari
Al-Haqir Abu Zahrah ‘Abdullah Thahir al-Qedahi
Catatan ini disempurnakan pada hari Rabu, 28 Rabiul Awwal 1430/25 Mac 2009 di teratakku di Gombak - Catatan ini adalah merupakan ringkasan dari: Majalah Pengasuh Bil. 570 dibawah kolum Tokoh Ulama Semenanjung Melayu oleh Muhammad Rushdi ‘Abdul Malik al-Kalantani

Notakaki

[1] – Beliau adalah datuk kepada Tuan Guru Haji Awang Embun Haji Umar dan merupakan moyang kepada Dato’ Syaikh ‘Abdul ‘Aziz (qadhi besar Kedah, beliau meninggal di dalam satu nahas kapalterbang di Bangkok sewaktu kembali daripada menunaikan haji, tahun 70an) dan Dato’ Haji Zakaria Haji Ahmad Wan Besar (ahli majlis fatwa kerajaan Negeri Kedah sehingga kini).

[2] Beliau adalah ayah kepada Dato’ Syaikh ‘Abdul ‘Aziz (qadhi besar Kedah) dan Dato’ Haji Zakaria (ahli majlis fatwa kerajaan Negeri Kedah), mertua kepada Tuan Guru Haji Ahmad Rusydi, Sidim, dan besan Tuan Guru Haji Hussien Che Dol. Beliau ahli dalam ilmu qiaraat yang 7.

[3] Tuan Guru Haji Ya’kub ini terkenal dengan nama ‘Haji Ya’kub Hitam’ kerana pada masa yang sama terdapat seorang lagi Haji Ya’kub yang menjadi qadhi Sik, yang dipanggil ‘Haji Ya’kub Putih’. Haji Ya’kub Hitam mendapat pendidikan di Mekah dan merupakan teman baik Tok Kenali. Pada awalnya tinggal di Pedu, kemudian di bawa oleh Haji Utsman, ketua kampung Kemelung untuk mengajar dan membuka pondok disana. Kemudian Haji Utsman diambil oleh Tuan Guru Haji Ya’kub sebagai menantunya. Salah seorang anak Haji Utsman adalah Tan Sri Dr. ‘Abdul Hamid Utsman (bekas menteri yang menjaga hal ehwal agama dan merupakan penasihat khas Perdana Menteri Malaysia)

[4] – Haji Muhammad Yasin berasal dari Negeri Sembilan. Beliau kemudiannya dikenali dengan Syaikh Muhammad Yasin. Mengahwini Hajjah Aminah, anak kepada Tuan Guru Haji Yak’kub Hitam, Kemelung, Sik. Beliau menetap dan meninggal di Mekah. Sebelum berangkat ke Mekah, beliau mengahwinkan anak gadisnya yang bernama Maimunah atau Munah kepada Tuan Guru Haji Yahya Kupang. Ketika itu Maimunah berusia kurang lebih 12 tahun.


Sumber dari Facebook:
Jom Kenali Ulama Kita dan Karya Mereka





Tuan Guru Hj 'Abdullah Thohir bin Hj Ahmad bin Awang Ludin





Tuan Guru Hj 'Abdullah Thohir bin Hj Ahmad bin Awang Ludin @ Muhammad Zein, Bunut Payong. Tok Faqih Tanah Melayu. Lahir di Kg Sireh pada 20 Muharram 1315H/20 Jun 1837. Tutup usia pada 4 Rabiulawwal 1371H/15 Ogos 1961. 

Berguru dengan Tok Kenali selama 15 tahun lebihkurang. Kemudian berangkat ke Makkah. Antara guru beliau disana
Syeikh Mukhtar 'Atarid Bogor (- belajar kitab Ihya 'Ulumiddin, al-Kabair oleh Ibn Hajar, Hikam Ibn 'Athoillah dll.
Syeikh 'Ali al-Maliki (wafat 28 Syaban 1367H)- belajar, antaranya kitab Jam'ul Jawami`, al-Furuq dll.
Syeikh Sa'id al-Yamani (wafat 1354H) - belajar kitab Fath al-Jawad, Syarah ar-Raudh, Minhajut Tholibin, Mughni Muhtaj, dll.

Murid-murid beliau antaranya:
Tuan Guru Haji Musthapa bin Hj Abu Bakar, Pasir Tumboh
Tuan Guru Haji 'Abdul Aziz bin Hj Abu Bakar, Pasir Tumboh
Tuan Guru Hj Husin Rahimi (menantu beliau)
Tuan Guru Hj Isa bin Hj Muhammad, Keplu, Kodiang
Tuan Guru Hj Yahya Joned, Padang Lumat, Kedah
Tuan Guru Hj 'Abdullah Nasution, Tanjung Pauh, Jita Kedah (alhamdulillah admin pernah beberapa kali bertemu dengan beliau)
Tuan Guru Hj Othman bin Hj Yunus, Bukit Besar, Kedah
Tuan Guru Hj Wahid Sg Udang, Melaka
Tuan Guru Hj Ahmad bin Othman, Hutan Palas, Kodiang Kedah (alhamdulillah admin sempat bertemu dan mengutip sedikit ilmu dari beliau)
Tuan Hj Jalaluddin bin Hasyim, Imam Masjid Abu Bakar, Johor Baharu
dan ramai lagi.

Seperti Tuan Guru beliau Tok Kenali, Tuan Guru Hj 'Abdullah Thohir adalah merupakan Syeikh al-Syuyukh kerana melahirkan ramai ulama yang membuka pondok dan berperanan di dalam masyarakat.


Sumber dari Facebook:
Jom Kenali Ulama Kita dan Karya Mereka




Rabu, 8 Mei 2013

Dato' Kiyai Syamsuddin bin Haji Ridhwan





Dato' Kiyai Shamsuddin bin Haji Redzuan adalah seorang tokoh ulama tanah air yang disegani. Beliau lahir di Kepet, Madiun, Jawa Timur pada 11 November 1911. Menimba ilmu dari beberapa pesantren di Pulau Jawa sebelum berhijrah ke Malaysia,, antaranya ialah Pesantren Termas dan Pesantren Tebuireng yang masyhur. Beliau menuntut di Pesantren Termas, Jawa Timur, Indonesia selama 15 tahun iaitu dari tahun 1925 hingga 1939 yang merupakan anak didik KH Adnan bin Hj Abd Wahid

Beliau merupakan pendiri Madrasah Shamsuddiniah Assalafiah yang didirikannya pada tahun 1940. Madrasah ini terletak di Kampung Parit Medan, Kundang Ulu, Muar, Johor Darul Takzim dan masih ada sehingga kini. Kini ianya dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah. Selain daripada terlibat terus dalam bidang pendidikan, Dato Kiyai juga pernah memegang pelbagai jawatan penting di Negeri Johor, antaranya sebagai penasihat Sultan, Ahli Jemaah Majlis DiRaja Johor, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Ahli Jawatankuasa Lujnah Fatwa Negeri Johor. Beliau juga bukan sahaja alim dalam ilmu-ilmu agama, bahkan ahli dalam ilmu-ilmu pertahanan diri.

Mengikut cerita dari mulut ke mulut beliau juga dikenali sebagai ahli hikmah dan tabib. Ini dibuktikan beliau memegang sebagai wakil Muar dalam perkumpulan Selendang Merah yang dianggotai juga oleh Kiai Salleh di bahagian Batu Pahat pada zaman “Bintang 3“. Dan beliau sempat menjadi penasihat agama kepada 3 Sultan Johor.

Semasa zaman "Bintang 3" beliau adalah antara tokoh yang berjuang menentang pihak komunis dan mengerahkan anak-anak muridnya untuk berjuang sama demi mempertahankan maruah agama. Dato' Kiyai menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1 Ramadhan 1418 (9 Januari 1997) dan meninggalkan dua orang balu iaitu Hjh Rugayah binti Hj Sidek dan Hjh Maryam binti Hj Mohd Anuar.dan 18 orang anak termasuklah Shohibus Samahah Datuk Haji Mohd. Tahrir, mufti Johor sekarang.


Kitab Majmuu'atush Sholawaat
 Di antara karya beliau adalah sebuah kitab himpunan sholawat berjodol "Majmuu'atush Sholawaat" yang mengandungi berbagai sholawat yang masyhur termasuklahSholawat Tafrijiyyah dan Sholawat Syifa`.

Pada mukaddimahnya pula disebut, antara lain hadits "lawlak" yang tidak lepas dari khilaf ulama mengenainya. Ada ulama yang mentsabitkannya, ada yang menolaknya dan ada pula yang walaupun tidak mentsabitkannya tetapi menyatakan bahawa maknanya shohih.

Insya-Allah wa bi 'awnihi, nantilah kita cuba bicarakan mengenainya. Apa yang zahir dari karya Dato' Kiyai ini, beliau nampaknya tergolong dalam kalangan ulama yang mentsabitkan hadits tersebut. Dalam mukaddimahnya tersebut beliau menulis antara lain:-



Sholawat itu satu amalan atau satu ibadah yang sangat-sangat besar pahalanya dan dituntut pada tiap-tiap orang mukminin memperbanyakkan sholawat atas Rasulullah (se)bagaimana firman Allah s.w.t.:

ان الله و ملائكته يصلون على النبي يا ايها الذين امنوا صلوا عليه و سلموا تسليما

Dan tiada syak lagi bahawa Rasulullah itu 'waashitah', bahkan Rasulullah itu:

اصل الإيجاد لكل مخلوق
كما قال ذو العزة و الجلال: لولاك لما خلقت الأفلاك

"Asal bagi kewujudan setiap makhluk", sebagaimana firman Tuhan yang empunya kemuliaan dan kebesaran (yakni dalam hadits qudsi) yang ertinya: " Jika tidak wujud Rasulullah, Allah ta'ala tidak menjadikan bumi dan langit."

Sungguh Junjungan Nabi itu adalah sebab bagi kewujudan segala yang ada di alam ini. Maka hendaklah kita sentiasa menjaga hubungan dengan orang yang menjadi sebab bagi kewujudan kita. Malanglah sesiapa yang memutuskan hubungan dengan baginda. Moga Allah merahmati Kiyai Haji Shamsuddin dan menempatkan beliau bersama para sholihin. Allahumma ... aamiin ... al-Fatihah.


sumber: http://jamaluddinab.blogspot.com/2011/01/dato-kiyai-shamsuddin.html

-----

Khamis, 31 Mei 2012

Tuan Guru Hj Salleh bin Musa



Nama : Tuan Guru Hj Salleh bin Musa
Tarikh Lahir : 08.02.1929
Ayah : Tn Guru Hj Musa bin Salleh
Ibu : Khatijah bt Md Saad Mehamad
Tempat lahir : Pekan Sik
Bil Adik beradik : 8 orang Anak ke : 3

Pendidikan :
1. Sek Rendah Keb Sik (Dan ke Pondok Tn Hussin Kedah, kemudian ke Pondok Tn Guru Hj Mad Nawawi Gurun Kedah, ini kurang mashur kerana Tn Guru Sekejap sahaja disana)
2. Pondok Pak Chu Him Gajah Mati Pendang Kedah
3.Darul Ulum Makkah dan menamatkan sijil kepujian Aliy
4. Kemudian mendalami ilmu di Masjidil Haram Makkah bersama syeikh-syeikh terkemuka diantaranya Syeikh Ismail Fatani , Syeikh Yassin Al Fadani , Syeikh Abd Qadir Mandili , Syeikh Syed Alawi Al Malikki , Syeikh Syed Amin Qutubi dan syeikh muktabar lain .

Berkahwin dengan Hj Hatiah bt Hanafi Mendapat 2 orang cahaya mata semasa berlajar di Makkah. Tn Guru memiliki 11 orang cahaya mata semuanya. Kini isteri beliau sudah meninggal dunia dan Tn Guru sekali lagi berkahwin dengan Hj Sofiah bt Hj Awang

Tahun 1964 Tn Guru pulang ke Tanah air dan terus berkhidmat membantu mengajar di pondok ayah beliau di Pekan Sik . Tn Guru menggantikan ayah beliau sebagai mudir Madrasah Ar Rahmaniah hingga sekarang . Sekarang Tn Guru dibantu oleh anak belaiu Syeikh Muslim sebagai Tim Mudir .

Tn Guru menumpukan dakwah sepenuh masa di Pondok hingga sekarang dan beliau menyampaikan dakwah di setiap daerah di sekitar negri Kedah Darul Aman .

KDYMM Sultan Kedah telah anugerahkan beberapa pingat kebesaran , diantaranya B.K.M , S.D.K dan Tokoh Pendakwah Negeri Kedah tahun 2009 Pada tahun 2010 MB Kedah YAB Ust Azizan Abd Razak meanugerahkan Tokoh Pondok Negeri Kedah , 2011 beliau dinobat Tokoh Ilmuan Daerah Sik Oleh Pegawai Daerah Sik

SEKARANG ULAMA ARAB TERUTAMNYA YAMAN , JORDEN, MESIR SERING MENZIARAHI TN GURU KERANA TN GURU MERUPAKAN ULAMA YANG SEMPAT MENDALAMI ILMU DENGAN ULAMA MUKTABAR MASJIDIL HARAM MAKKAH SATU KETIKA DULU INSYALLAH

Antara masyaikh hafizahumullah yang menziarahi beliau :

Syeikh Yussuf Al Hassani (Lubnan)
Syeikh Muhammad Ibrahim (Mesir)
Habib Kazim ( Yaman )
Habib Abdullah ( Jeddah)
Syeikh Habib ( Jorden)

Saudara yang saya kasihi ,Tn Guru Hj Salleh merupakan ulama yang terkenal di Kedah sekarang kerana beberapa faktor ketokohan beliau , diantaranya beliau merupakan Tn Guru Pondok yang paling tua nisbah umur dikalangan Tn Guru Pondok disekitar Kedah .

-ke 2 Beliau merupakan tokoh ulama Tauhid di alam melayu sekarang , seluruh pelajar pondok seluruh Malaysia , Thailand akan berkumpul di Pondok Tn Guru Hj Salleh Sik setiap bulan Ramadan semata-mata untuk belajar ilmu tauhid dengan Tn Guru Hj Salleh

- Ke 3 Beliau sangat petah dalam penyampaian ilmu dan dakwah , mudah difahami apa yang beliau syarahkan Kuliah minguan beliau setiap hari Jummat tidak kurang dari 3000 orang yang hadir . Setiap hari beliau gigih mengajar di Madrasah Ar Rahmaniah dan beliau keluar menyampaikan dakwah di seluruh daerah didalam Kedah , hampir 24 tempat beliau jelajah setiap bulan , Allah beri taufiq pada beliau , walau usia 83 tahun tetapi beliau masih bertenaga menyebarkan ilmu dan berjuang .

-Ke 4 Ketokohan beliau tidak dapat dinafikan oleh kawan dan lawan ,tegas dalam hukum menyebabkan ramai suka dengan beliau . Allahyarham Pak Teh Keroh pernah berpesan pada muridnya "Kamu semua kena (perlu) pakai (ikut ) segala fatwa dari Tn Guru Hj Salleh Sik"

-ke 5 Beliau sangat aktif berjuang untuk memastikan Islam tertegak didalam negara Malaysia yang kita cintai. Wadah yang beliau pilih adalah PAS kerana ini merupakan amanat dari dua orang Guru beliau di Makkah iaitu Syeikh Qadir Mandili dan Syeikh Wan Ismail ( Pak Da Eil)

-ke 6 Fikiran beliau sangat terbuka

-ke 7 Beliau merupaka tempat rujuk kepada pimpinan tertinggi parti PAS Pusat , PAS Negeri.

Seorang ulama di negeri Kedah apabila saya ziarahi beliau, beliau berkata " Tn Guru Hj Salleh merupakan setengah daripada orang yang memiliki wilayah yang luas dan punya sahabat dan musuh semua tunduk padanya" 

Paktam BERASA DOSA andai tidak perkenalkan Ulama yang Paktam kenali kepada Umum .

Masyarakat sekarang selalunya kenal ulama setelah ulama itu meninggal , Alhamdulillah Paktam mula berazam untuk memperkenalkan ulama tempatan seramai mungkin kepada masyarakat umum , mudahan dengan usaha ini ramai masyarakat dapat mengenali ulama kita yang masih wujud untuk kita sama ambil menafaat dengan mereka . ULAMA PEWARIS ANBIA , seharusnya kita mendekati mereka . Jangan setelah mereka meninggal barulah kita menyesal . — di Pekan Sik Kedah.

Sumber:
http://www.facebook.com/photo.php?fbid=10150741506363558&set=a.428168528557.208958.323889703557&type=1

-------------------